Melakar agenda Islam Malaysia Baharu

A
A
A

USAHA memaju dan mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama negara ini sesuai dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sangat kritikal.

Sementara peruntukan bertulis itu sangat baik untuk menegaskan bahawa negara ini bagaikan tubuh yang hidup, dan ia memiliki agama, namun memastikan ia benar-benar berfungsi secara praktis bukan mudah.

Mengungkap Malaysia Baharu memberi nafas segar untuk menambahbaik kedudukan Islam di negara ini sekaligus perlu berdepan dengan cabaran yang lebih kompleks. Suara yang menyentuh mengenai Islam kini semakin terdengar, apatah lagi dalam era digital dan media sosial yang sangat sukar dikawal.

Namun kami berpendapat terdapat beberapa isu pokok yang perlu ditangani jika hasrat membina negara berteraskan Islam mahu direalisasikan.

Pertama ialah kepimpinan. Bermula daripada raja hingga ke bawah perlu menunjukkan contoh yang baik dalam kepimpinan Islam yang berdasarkan panduan al-Quran, hadis dan kehidupan Rasulullah SAW serta para khalifah yang terdahulu.

Tingkah laku yang tidak baik dalam kalangan sebahagian pemimpin termasuk amalan korupsi, salah guna kuasa dan perilaku yang tidak bermoral telah merosakkan imej Muslim dan Islam.

Para mufti dan ulama perlu berani untuk menegur pemimpin jika ada dalam kalangan mereka yang menyalah guna kuasa dan melanggari ajaran.

Kedua ialah ekonomi. Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, dengan kedudukan istimewa dan peruntukan berbilion ringgit, kita masih gagal mewujudkan sebuah komuniti bisnes Islam yang boleh berbangga dan boleh bersaing dengan kaum lain sama ada di peringkat lokal mahupun antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Kita telah melahirkan beberapa orang jutawan, sebahagian mereka hidup mewah dan tidak pula mahu membantu komuniti mereka agar kuat dalam ekonomi. Kita telah melahirkan sebuah kelas komuniti bisnes yang berciri Ali-Baba yang materialistik yang mahu menjadi kaya tanpa perlu berusaha dan bergantung kepada kerajaan untuk menyuap mereka.

Selama ini pelbagai skim yang secara asasnya untuk membantu bumiputera tidak tercapai matlamatnya. Pelaksanaan skim-skim tersebut perlu diperbaiki jika kita mahu mengukuhkan kedudukan masyarakat Islam di negara ini.

Ketiga ialah isu pendidikan. Pengajaran Islam di sekolah-sekolah perlu dinilai semula untuk meningkatkan kandungan dan pembelajaran bukan sahaja untuk memahami amalan ritual dalam Islam, akan tetapi perlu diterapkan nilai-nilai Islam - kejujuran, kerajinan bekerja, sedia berkorban, hidup sederhana, elak hidup mewah, mengasihani dan pemurah terhadap kelompok miskin, sedar sebagai warga ummah dan sedia menentang penindasan.Keempat ialah sosio-ekonomi dan budaya.

Kini kita menyaksikan lahirkan masyarakat yang tidak adil dan tidak saksama yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam. Wujud jurang yang besar antara yang kaya dan yang miskin. Institusi keluarga runtuh akibat masalah kewangan.

Sementara itu, jenayah, penyalahgunaan dadah, pelacuran semakin berleluasa.

Tidak dapat dinafi penghakisan akhlak sangat parah dan masih belum ada usaha berkesan untuk menangani dan menghalang gejala tersebut.

Kelima ialah rempuhan daripada Barat. Berlaku usaha yang bersungguh daripada kumpulan sekular, yang dibiaya oleh Barat, untuk mentafsir semula Islam bagi mengakomodasi nilai sekular Barat.

Berlaku gerakan yang kuat untuk menghalalkan aktivisme LGBT di bawah topeng mempromosi dan mempertahankan hak manusia. Mereka mahu mencabar identiti Islam yang telah menjadi akar sejarah negara ini.

Keenam ialah peranan Malaysia dalam isu Islam antarabangsa. Pembebasan Palestin dan Masjid Al Aqsa akan terus menjadi cabaran umat sedunia. Malaysia tidak boleh dan setakat ini tidak pernah berkecuali dalam isu tersebut.

Kerajaan perlu menegaskan pendirian kepada kolusi antara Saudi-UAE-Mesir yang memecahbelahkan umat Islam dan menyerah diri kepada perancangan Zionis dan meninggalkan sokongan kepada perjuangan Palestin.

Dengan enam isu pokok ini, bahtera Malaysia perlu dilayari dengan penuh kesedaran bahawa jika umat Islam tidak menyerlahkan kesatuan yang utuh, agenda Malaysia Baharu akan hanya menjadi retorik kosong tanpa sebarang perubahan.