29,000 pekebun kecil Risda tidak terjejas

Azman Nasrudin
Azman Nasrudin
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 29,000 pekebun kecil di negeri ini yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) tidak terjejas susulan tindakan kerajaan tidak meneruskan skim bantuan penanaman semula.

Exco Pertanian dan Asas Tani negeri, Azman Nasrudin berkata, bantuan berkenaan diteruskan seperti biasa kepada pekebun kecil berdaftar dengan Risda.

Menurutnya, selain bantuan berkenaan, bantuan musim tengkujuh juga diteruskan seperti biasa kepada pekebun terbabit.

"Sehingga kini, bantuan tanaman semula telah dikeluarkan bagi suku pertama dan kedua tahun ini manakala bantuan suku ketiga masih menunggu geran kerajaan untuk diteruskan.

"Kemungkinan, apa yang diumumkan menteri itu tidak melibatkan pekebun kecil di bawah Risda," katanya pada sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke- 4 di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Azman berkata, jika ada yang terlibat kemungkinan adalah pemilik estet ataupun syarikat berkeluasan lebih besar.

Oleh demikian beliau berkata, isu skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil yang tidak dilaksanakan kembali kerajaan tidak perlu terus dipolemik mana-mana pihak.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Menteri Industri Utama bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul meminta supaya skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di Malaysia dikekalkan sementara alternatif bantuan lain diperkenalkan.