TFC kejutkan Kedah walaupun hanya 10 pemain beraksi

TFC beraksi 10 pemain selepas Muhd Ilham dilayangkan kad merah kerana menerjah keras Farhan Roslan pada minit ke-45. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A

TERENGGANU FC (TFC) mengejutkan Kedah 0-2 pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman walaupun beraksi 10 pemain sebentar tadi.

Terlebih dahulu, pada minit ke-15, Lee Andrew Tuck berpeluang meletakkan Terengganu di hadapan namun percubaannya berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Kedah, Mohd Alif Mohd Yusof selepas penjaga gol tuan rumah, Abd Hadi Abd Hamid dan pertahanan, Shakir Hamzah sudah pun tertewas.

Empat minit kemudian, Lang Merah mengasak kubu Sang Penyu menerusi tandukan ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar namun sedikit tersasar.

Pada minit ke-22, Fernando Ortega menguji penjaga gol TFC, Muhd Ilham Amirullah Razali melalui satu percubaan tepat namun berjaya ditepis keluar bagi menyelamatkan gawang pelawat dari dibolosi.

Bagaimanapun, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhd Ilham dilayangkan kad merah berikutan melakukan terjahan berbahaya ke atas Farhan Roslan di luar kotak penalti pada minit ke-45 dalam usaha Kedah melakukan serangan pantas.

Kipre buktikan dirinya sebagai penyerang yang berkualiti dengan menjaringkan dua gol buat TFC.
Kipre buktikan dirinya sebagai penyerang yang berkualiti dengan menjaringkan dua gol buat TFC.

Biarpun kurang pemain berbanding tuan rumah, TFC tidak mengendurkan serangan sebaliknya terus menggandakan asakan untuk membolosi gol tuan rumah.

Usaha tersebut berhasil apabila Tchetche Kipre berjaya menanduk gol pada minit ke-65 hasil sepakan pecuma Lee Tuck untuk meletakkan pelawat di hadapan 0-1.

Terkejut dengan gol tersebut, Kedah berusaha untuk bangkit namun pertahanan dan penjaga gol gantian TFC, Wan Azraie Wan Teh berjaya mengeluarkan bola bahaya dari kawasan mereka.

Sang Penyu terus menambah derita Lang Merah juga menerusi Kipre pada minit ke-86 yang menguis bola untuk mengelirukan Abdul Hadi untuk kedudukan 0-2.