Tiga ditahan bantu siasatan kes pecah rumah

Muhammad Izzudin (tengah) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas daripada suspek.
Muhammad Izzudin (tengah) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas daripada suspek.
A
A
A

BATU PAHAT - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berjaya menahan tiga suspek termasuk sepasang kekasih bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Taman Nira di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Muhammad Izzudin Runggai berkata, kesemua suspek cuba meloloskan diri namun tidak berjaya ketika serbuan dilakukan di sebuah taman perumahan di daerah ini.

"Hasil daripada serbuan tersebut, kami berjaya merampas sebuah telefon pintar, sebuah tablet, sebuah komputer riba, seutas rantai emas dan enam utas jam tangan pelbagai jenama.

"Hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek warga tempatan berumur 20 hingga 30 tahun itu didapati positif dadah," katanya pada sidang akhbar di IPD Batu Pahat di sini hari ini.

Menurutnya, beliau percaya dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek ini, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah yang berlaku di daerah ini dan kawasan sekitarnya.

Katanya lagi polis meminta orang ramai memberikan kerjasama dan maklumat yang cepat agar tertangkapnya individu atau kumpulan yang melakukan kegiatan jenayah di daerah ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman sehingga esok dan berkemungkinan tempoh reman suspek juga akan disambung untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: