Guna kuasa undi pada PRU15

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

IPOH - Rakyat Perak perlu bangkit untuk tidak lagi diperdaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan kuasa undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, selepas lebih setahun PH mentadbir Perak tiada sebarang perubahan dilakukan malah kemelut politik melanda membantutkan usaha pembangunan negeri.

"Ironinya PH dikatakan pejuang ‘rules of law’ bersifat ‘double standard’ melalui campur tangan terhadap perundangan dan lebih parah lagi dalam beberapa isu kebelakangan ini dilihat adanya seakan tindakan saling menjatuhkan sesama sendiri dipercayai atas kepentingan peribadi.

"Sewajarnya selaku pemimpin rakyat, kerajaan tampil memberi contoh teladan terbaik, selain memenuhi tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas penting dan berat untuk memakmurkan negeri.

"Malangnya, rakyat dikhianati dan ditipu oleh politikus PH atas sikap haloba dan sengketa sesama mereka,"kat anya kepada media di sini hari ini.

Razman berkata, kerajaan PH juga dilihat tiada perancangan untuk masa depan negeri ini.

"Rakyat diserabutkan dengan perebutan jawatan sesama mereka, menunjukkan jaminan dan pembelaan untuk memberdayakan hidup rakyat agar lebih sejahtera terus kabur dan malap," katanya.

Menurutnya, Pas Perak menyedari tanggungjawab terhadap perkara berlaku dan demi pembangunan negeri, pihaknya bersedia menyumbang idea penyelesaian kepada permasalahan berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Pas Perak terus komited dan yakin melalui agenda penyatuan ummah dapat meningkatkan lagi kesejahteraan dan pembangunan negeri Perak.

"Malahan pembudayaan politik matang dan sejahtera lebih memberi kesan positif kepada rakyat berbanding sikap PH yang berjanji manifesto tidak dilunaskan serta tindakan PH kini seolah mencabar kontrak sosial yang terbina seawal kemerdekaan dicapai," katanya.