Jerebu dijangka pulih selepas pertengahan September

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan jerebu pada tahap sederhana yang menyelubungi beberapa kawasan di Malaysia ketika ini dijangka pulih selepas pertengahan September ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan perubahan arah tiupan angin dan hujan akan kerap berlaku pada minggu ketiga September hingga Oktober, apabila tempoh peralihan monsun bermula.

"Lazimnya, ketika peralihan monsun ini kita akan menerima hujan yang lebih kerap dan sekali gus akan mengurangkan kesan jerebu. Selain itu, perubahan arah angin membantu mengurangkan kesan jerebu akibat kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

"Selagi angin Monsun Barat Daya belum sampai ke penghujungnya, maka kita akan menerima kesan jerebu ini dari semasa ke semasa tetapi ia juga bergantung kepada titik panas di kedua-dua kawasan itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Antara kawasan yang terjejas dengan jerebu ialah Petaling Jaya, Kerteh dan beberapa kawasan di barat Sarawak, katanya.

"Bagaimanapun, jerebu itu masih berada pada tahap sederhana tetapi kami akan terus memantau keadaan jerebu dan bilangan titik panas di Indonesia.

“Oleh itu, orang ramai dinasihat supaya kurangkan aktiviti luar dan elak daripada melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata, keadaan jerebu itu dijangka berterusan sekiranya situasi kebakaran hutan di Indonesia masih berlaku dan ia turut bergantung kepada keadaan cuaca serta tiupan angin di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Ogos lepas, dilaporkan pantai barat Semenanjung dan Sarawak mula berhadapan masalah jerebu susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.

Kebakaran hutan di Indonesia dikesan di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan. - Bernama