'Saya berdoa di Makkah, lepas tu saya berhenti'

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah - Foto BERNAMA
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Saya berdoa di hadapan Kaabah, saya menangis. Lepas balik dari Makkah saya dapat ilham untuk berhenti daripada jawatan Menteri,” demikian dedah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Ahmad Husni, yang memegang jawatan itu dari 2009 hingga 27 Jun 2016 berkata, hasratnya untuk meletakkan jawatan sudah setahun difikirkan tetapi beliau ingin menyelesaikan '1Malaysia Development Berhad (1MDB)’s rationalisation plan' bagi menyelesaikan masalah hutang 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-56 berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu memintanya membuat pelaksanaan pelan 1MDB itu.

“Ini saya nak cerita, semasa saya transit di Istanbul. Di sinilah pelan rasionalisasi disiapkan. saya buat pelan rasionalisasi pada telefon bimbit saja. Selepas itu saya telefon Arul Kanda (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) beritahu dia kata pelan siap kemudian saya telefon Najib,” katanya dan menambah Najib memintanya untuk ke rumahnya di Jalan Duta untuk menyerahkan pelaksanaan pelan itu.

Katanya, sampai di rumah Najib, dia (Najib) memeluk saya dan mengatakan agar saya menjalankan pelan itu dengan baik.

Ahmad Husni berkata, pelaksanaan pelan itu adalah daripada ideanya tetapi yang melaksanakannya adalah Arul Kanda.

Bagaimanapun, katanya beliau berpendapat Arul Kanda tidak mengikuti pelan rasionalisasi 1MDB.

"Pelan itu termasuk menjual sejumlah aset 1MDB namun masih mengekalkan pegangan. Aset itu termasuk Bandar Malaysia, Projek pembangunan mega, Tun Razak Exchange (TRX) dan Edra Power Holding Sdn Bhd. Saya kata kita patut jual, tapi itulah... Saya kata Ya ALLAH saya nak ikutkan ke. Ketika itu perasan saya untuk berhenti (sebagai Menteri Kewangan II) semakin bergelora,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu berkata, perasaannya untuk berhenti semakin kuat semasa berada di Makkah.

“Dari 1.8 juta manusia saya dipilih ke Makkkah. Selepas itu saya kata berhentilah daripada jawatan menteri. Bila balik, itu sebabnya saya berhenti,” katanya semasa pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Terdahulu peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membantah keterangan Ahmad Husni yang banyak menyentuh mengenai 1MDB yang tidak relevan kepada kes yang sedang dibicarakan.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V.Sithambaram menasihati Ahmad Husni supaya memberikan jawapan yang ringkas mengenai peletakan jawatannya.

Selepas saksi itu selesai memberi keterangan, peguam itu berharap agar perbicaraan kes itu tidak menjejaskan persahabatan mereka ini berikutan semasa disoal balas oleh Muhammad Shafee, peguam itu meminta saksi supaya menjawab ya atau tidak atau setuju atau tidak setuju kepada soalan yang ditanya ini kerana saksi itu sentiasa memberikan penjelasan.

Muhammad Shafee sambil bergurau berkata, sekiranya Ahmad Husni ingin menceritakan dengan panjang lebar mengenai kes itu, beliau boleh mengajaknya ke kedai kopi dan saksi itu berkata, “boleh makan nasi beriyani sekali” yang kemudiannya mencetuskan ketawa dari semua pihak yang berada di mahkamah.

“Awak bukanlah seorang peminat, tetapi sahabat karib. Saya amat mengenali awak,” kata Ahmad Husni.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama