Wan Ji dibebaskan dengan jaminan RM4,000

Rahimin
Rahimin
A
A
A

MELAKA - Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin dibebaskan Mahkamah Syariah Melaka di sini setelah menjelaskan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin kira-kira jam 3 petang tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan kes pada 23 Oktober ini.

Menurutnya, Wan Ji hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM di Kompeks Perniagaan Al-Azim Bukit Palah di sini kira-kira jam 10 pagi tadi bersama peguamnya selepas mendapat notis yang diposkan JAIM kepadanya Jumaat lalu.

"Selepas selesai prosedur berkenaan Wan Ji dibawa ke Mahkamah Syariah Melaka sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

"Mahkamah kemudian membebaskannya setelah menjelaskan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin pada kira-kira jam 3 petang tadi dan menetapkan 23 Oktober untuk sebutan kes," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rahimin berkata, Wan Ji dan peguamnya memberi kerjasama baik sepanjang prosedur bagi membantu siasatan berkaitan tindakan pendakwah itu memberi ceramah tanpa tauliah ketika kuliah subuh di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang pada 14 Julai lalu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana membantu pihak berkuasa dan berharap orang ramai tidak membuat andaian kerana ia adalah proses siasatan biasa.

"Saya harap, tiada pihak yang mengganggu proses ini terutamanya penyokong kerana Wan Ji sendiri sangat memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Wan Ji ditahan Bahagian Penguatkuasaan JAIM ketika diminta hadir ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan berhubung tindakannya memberi ceramah tanpa tauliah ketika kuliah subuh di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang pada 14 Julai lalu.

Tindakan itu menjadi kesalahan mengikut Seksyen 70 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana memberi ceramah tanpa tauliah yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.