Keputusan teruskan pertuduhan memalukan: Jamal

Jamal (kiri) bersama peguamnya di Mahkamah Majistret Ampang bagi kes pencerobohan di bawah Seksyen 448 yang masuk hari ketiga, hari ini.
Jamal (kiri) bersama peguamnya di Mahkamah Majistret Ampang bagi kes pencerobohan di bawah Seksyen 448 yang masuk hari ketiga, hari ini.
A
A
A

AMPANG - Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan keputusan meneruskan pertuduhan ke atasnya bersabit Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan tiga tahun lepas di dua premis perjudian Taman Kosas sebagai memalukan sistem perundangan negara.

Ini kerana menurut Jamal, pengadu telah menarik kes tersebut namun Peguam Negara, Tommy Thomas bertegas meminta pertuduhan kes itu diteruskan.

Menurutnya, beliau melabel situasi menimpa dirinya sebagai dendam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap pemimpin parti UMNO.

"Kes remeh-temeh ini membuang masa mahkamah. Kalau lihat rekod mahkamah banyak kes tertunda bertahun lamanya tak diselesaikan.

"Saya hairan banyak kes yang terang-terangan seperti rogol tak dituduh tapi kes seperti ini yang diberikan keutamaan oleh pihak peguam negara.

"Ini semua kerana dendam dan propaganda menunjukkan kononnya pemimpin UMNO ini banyak melakukan kesalahan sedangkan kesalahan itu adalah sengaja dicipta oleh mereka," katanya di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Pada 5 Julai 2018, Jamal mengaku tidak bersalah kerana menceroboh dua premis bernombor 23 dan 25 Jalan Kosas 13, Taman Kosas Ampang pada 3.30 petang, 26 Disember 2016.

Katanya, pengadu terdiri pemilik premis telah membuat akuan bersumpah menarik semula kes itu Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin pengadu tak mahu ke depan kerana bimbang aktiviti sebenar mereka akan terbongkar.

"Jika kes ini diteruskan mungkin lebih ramai yang akan terlibat termasuk polis, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan kerana kedai itu adalah pusat hiburan keluarga yang menjalankan aktiviti perjudian," katanya.

Mengulas berkenaan pertuduhan itu katanya, prosesnya masuk hari ketiga dan dijangka disambung pada Oktober ini.

"Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes yang sepatutnya selesai hari ini disambung selama empat hari pada Oktober ini.

"Kami dimaklumkan pengadu masih belum dapat dikesan jadi pihak pendakwaan terpaksa cari saksi lain untuk meneruskan kes," katanya.