JPJ Pahang kutip RM343,000 lelong 35 kenderaan

Mohamad (kanan) menunjukkan manual penggunaan aplikasi JPJeBid untuk memudahkan orang ramai membida nombor pendaftaran kenderaan.
A
A

KUANTAN - Sejumlah 35 kenderaan berjaya di lelong dengan jumlah keseluruhan kutipan RM343,470 dalam Lelongan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Siri 1 2019 di sini hari ini.

Pengarah JPJ Pahang, Mohamad Abdullah berkata, jumlah tersebut merupakan jumlah terbesar direkodkan dalam sejarah lelongan JPJ Pahang.

Menurutnya, kenderaan yang mendapat bidaan tertinggi ialah sebuah lori pada harga RM38,100 manakala sebuah motosikal mendapat bidaan terendah iaitu RM50.

"Sebanyak 29 daripada 35 kenderaan tersebut berstatus boleh dilesenkan manakala enam lagi tidak boleh dilesenkan kerana gangguan pada nombor casis. Namun kenderaan ini tetap mendapat sambutan awam dan kesemuanya berjaya dibida.

"Ini adalah kejayaan paling besar JPJ Pahang kerana melepasi sasaran jualan RM250,000, berbanding sekitar RM25,000 kutipan pada 2017 dan 2018. Saya melihat pendekatan baharu yang digunakan JPJ dalam proses lelongan kali ini dapat mengurangkan orang tengah sekaligus meningkatkan jumlah kutipan hasil kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis lelongan awam tersebut di JPJ Indera Mahkota di sini hari ini.

Difahamkan JPJ turut melelong 20 kenderaan klon spesifikasi penuh dan boleh dilesenkan serta merta. Lapan daripadanya ialah motosikal manakala 27 lagi adalah motokar dan lori.

"Ini juga faktor menjadikan bidaan kali ini sengit dan rancak. Kereta-kereta klon didaftarkan dengan nombor pendaftaran terkini dan baharu.

"Selain daripada itu, sebanyak 132 buku lelongan dijual pada harga RM50 senaskhah dengan kutipan RM6,600. Daripada 132 buku terjual, hanya 81 pembida hadir," katanya.

Dalam perkembangan lain Mohamad berkata, JPJeBid kini diperkenalkan bagi memudahkan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian.

Katanya proses bidaan akan berlangsung selama lima hari bermula pada 30 Ogos jam 12 malam hingga jam 11.59 malam, 3 September ini.

Maklumat lanjut, layari laman web jpj www.jpj.gov.my.