Hati-hati dengan gerakan hapuskan kerjasama Pas, UMNO

Hashim Jasin
Hashim Jasin
A
A
A

KANGAR - Musuh Islam akan berfikir beberapa kali selepas melihat semua umat Islam bersatu di negara ini namun dalam waktu yang sama perlu terus berhati-hati dengan sebarang gerakan yang cuba menghapuskan usaha penyatuan ini, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Menurutnya, perpaduan ummah yang sedang digerakkan oleh Pas dan UMNO pada waktu ini dilihat menjadi salah satu keperluan selepas agama Islam dilihat semakin dihimpit dengan pelbagai isu.

"Mereka ini mahu mempertikaikan apa jua perkara berkaitan dengan agama Islam. (Sebenarnya) situasi berkenaan dilihat semakin serius pada masa ini dan kita harap orang Islam sentiasa berhati-hati menentang sebarang gerakan ini.

"Sekarang ini sudah menjadi keperluan untuk umat Islam bersatu malah kerjasama perpaduan melibatkan Pas dan UMNO (yang sedang berjalan) perlu diusahakan bersungguh-sungguh," katanya.

Tambah beliau, kerjasama di antara dua parti terbesar Melayu itu juga dilihat berjalan lancar dan yakin bahawa kerjasama tersebut mampu memberikan impak positif dalam menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan lain, Hashim turut bersetuju bahawa Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad perlu terus diberi kepercayaan memimpin negara sehingga habis penggal ini.

Katanya, tidak ada pengganti yang dilihat lebih sesuai menjawat jawatan berkenaan ketika ini selepas melihat kualiti pemimpin-pemimpin lain yang berada di dalam Pakatan Harapan (PH).

"Daripada segi pengalamannya, biar Dr Mahathir selesai dahulu (menyempurnakan tugas sebagai perdana menteri). Rakyat akan menilai semula hala tuju kerajaan dalam pilihan raya selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, rakyat bakal menilai kembali untuk menentukan calon terbaik untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya pada PRU15.