'Cuba pinda enakmen tukar agama, DAP buta undang-undang'

Shahir
Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendakwa pemimpin DAP buta undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas isu cadangan pindaan enakmen berhubung menganut Islam di Selangor, Ketua Pemuda Ikatan Shahir Adnan berkata, pemimpin parti itu perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan dan berhenti mempolitikkan isu terbabit.

Menurutnya, pihaknya mengecam kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengenai pendirian DAP bahawa individu berusia bawah 18 tahun perlu mendapat keizinan ibu dan bapa untuk menukar agama yang didakwa mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“DAP perlu rujuk Perkara 12 [4] Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

“Kenyataan dikeluarkan pemimpin parti itu menunjukkan DAP buta Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyebut jika mana-mana undang-undang negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti mempolitikkan isu sensitif kaum dan agama bagi mengekalkan keharmonian di negara ini.

Menurutnya lagi, apa yang berlaku di Selangor tidak perlu dipolitikkan.

Artikel Berkaitan:

“Di saat tulisan jawi dan khat menjadi isu minggu lalu, hari ini timbul pula perdebatan berkaitan isu agama dalam kalangan PH di Selangor.

“Pemuda Ikatan menyokong usul Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk menyelaraskan undang-undang negeri dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab itu, kami desak pemimpin PH berhenti politikkan isu sensitif Melayu dan Islam bagi mengekalkan keharmonian antara kaum dan tumpu pulihkan ekonomi serta melunaskan janji manifesto mereka serta-merta,” katanya.

Terdahulu, Guan Eng menegaskan pendirian DAP bahawa penukaran agama individu bawah umur kepada Islam hanya boleh dilakukan dengan kebenaran kedua-dua ibu bapa.

Katanya, pendirian itu jelas mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penukaran agama orang bawah umur perlu dipersetujui kedua-dua ibu bapa.