Angkat berat wajar dimasukkan dalam kalendar MSSM

Mohd Asmirul (tengah) selepas menerima kunjungan Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah Darul Aman dan atletnya di Wisma Darul Aman, pagi tadi.
A
A

KERAJAAN Kedah menyokong penuh sukan angkat berat dimasukkan ke dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kerana mempunyai pontensi untuk menyerlah di pentas Olimpik.

Exco Belia dan Sukan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, sukan tersebut mempunyai prospek besar untuk diketengahkan berdasarkan beberapa kejayaan yang diperolehi di pentas Sukan Sea dan Komanwel.

Menurutnya, pihaknya akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membincangkan perkara tersebut.

"Saya lihat sukan ini belum dimasukkan dalam kalendar MSSM seperti sukan lain walaupun mempunyai pontesi besar.

“Jika diketengahkan, saya percaya lebih ramai atlet berbakat mampu membawa cabaran sehingga di peringkat antarabangsa," katanya selepas meraikan Ahlijawatankuasa Persatuan Angkat Berat Kedah Darul Aman.

Pada majlis tersebut, Mohd Asmirul turut meraikan beberapa atlet angkat berat Kedah yang akan menyertai kejohanan di Perlis pada Sabtu dan Ahad ini.

Katanya, Kedah menyokong penuh usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan Persatuan Angkat Berat Kedah Negeri Kedah dalam memartabatkan sukan tersebut walaupun berdepan dengan kekangan dari sudut infrastruktur dan peralatan.

"Kami mengalu-alukan semua pihak termasuk badan korporat dan swasta untuk membantu semua persatuan sukan di negeri ini.

"Dalam persatuan angkat berat sendiri kita boleh tengok apabila ada agensi kerajaan seperti Mara dan JPJ Kedah turut memainkan peranan membantu persatuan ini.

“Terima kasih saya ucapkan kerana bersama-sama membantu untuk membakar semangat atlet-atlet ini," katanya.

Beliau juga difahamkan sukan tersebut mampu menghadirkan banyak pingat untuk Kedah pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor berdasarkan persiapan dan pencapaian yang diraih pada Sukma Perak 2018 September lalu.

"Sudah tentu persiapan yang dilakukan perlu mengambil masa dan bukan sahaja untuk Sukma tetapi mereka juga meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu melibatkan pentas Olimpik," katanya lagi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia