Husni Hanadzlah mengaku berbohong demi tutup aib Najib

A
A

1. Husni Hanadzlah mengaku berbohong demi tutup aib Najib

Bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini mengaku bahawa dia berbohong ketika berkata peletakan jawatannya tiga tahun lalu bukan kerana skandal 1MDB.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Husni berkata dia berbuat demikian kerana melindungi perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, beliau mahu tutup cerita sebenar dan tidak mahu memberitahu cerita sebenar kepada media

Husni berkata demikian semasa perbicaraan kes SRC International terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

2. Kes dadah anak Mat Sabu dibicara Oktober

Tarikh bicara kes penyalahgunaan dadah membabitkan anak lelaki Menteri Pertahanan di pusat hiburan terkemuka Januari lalu, ditetapkan selama dua hari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 15 dan 16 Oktober depan.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan tarikh itu ketika prosiding pengurusan kes dihadapi tertuduh, Ahmad Saiful Islam Mohamad, hari ini.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatin Mohamad Farid dan tertuduh yang diwakili peguam Nasar Khan tidak membantah tarikh bicara yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah yang juga terdapat pada ganja di sebuah tandas di Kuala Lumpur, jam 2.05 pagi, 5 Januari lalu.

3. Pemuda Pas gesa singkir DAP dalam pentadbiran Selangor

Pemuda Pas menggesa agar Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) di Selangor supaya dapat mengambil langkah untuk menyingkirkan pemimpin DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Menteri Besar, Amirudin Shari perlu memulakan langkah proaktif dengan memohon mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah bagi merombak semula Exco dan menyingkirkan wakil daripada parti DAP termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim.

Beliau berkata, UMNO dan Pas sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Selangor bagi menjayakan agenda untuk menyingkirkan pemimpin DAP daripada pentadbiran negeri.

Terdahulu penangguhan Sidang DUN Selangor selepas hanya dua hari berlangsung menimbulkan pelbagai tanda tanya dipercayai berpunca daripada kemelut politik antara Amirudin dengan DAP sehingga menyebabkan ADUN Sungai Tua itu kecewa dengan tindakan Suee Lim.

4. Johari Abdul luah nasib penoreh

Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil dan penoreh getah di negara ini, bukan sahaja mengejutkan semua pihak malah kepemimpinan kerajaan sendiri.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mengakui keputusan tersebut menggusarkan golongan berkenaan yang rata-ratanya penduduk luar bandar dan tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, nasib para penoreh dan pekebun kecil komoditi itu kini diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ iaitu tatkala mereka kini bergelut dalam situasi harga lantai getah yang hanya RM2.30 bagi setiap kilogram.

5. Mayat lelaki berbungkus disahkan warga asing

Polis mengesahkan mayat seorang lelaki ditemukan dalam sebuah beg pakaian di Kawasan Public Palm Oil Jalan 3 Pandan Industri, Pandan Indah di Ampang Jaya baru-baru ini dipercayai adalah warga asing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan tanda suntikan 'Bacillus calmette-guerin' (BCG) ditemukan pada lengan mangsa.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak tolak kemungkinan mangsa telah mati dalam tempoh 24 jam sebelum ditemukan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia