Berilah ruang: Syafie Naswip

Syafie Naswip
A
A

PELAKON Pelakon berbakat besar, Syafie Naswip mengakui wataknya sebagai lelaki lembut menerusi telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi, mencabar kewibawaannya sebagai seorang pelakon.

Bagaimanapun Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2007 itu bersyukur kerana mendapat sokongan oleh orang industri terutamanya pengarah, Eyra Rahman.

“Saya tak pasti sama ada saya benar-benar menepati kehendak watak itu atau tidak.

“Tapi saya cuba menempatkan dan meletakkan emosi dan rasa itu di titik tengah,” luah Syafie di akaun Instagram miliknya.

Menyedari rata-rata masyarakat tidak suka akan genre karya yang bakal diketengahkan di saluran RTM ini berharap berilah peluang.

“Saya tahu ramai yang marah akan kehendak cerita seperti ini ditayangkan di televisyen.

“Tetapi berilah ruang pada Hamid untuk meluahkan apa yang dia rasa sejak dulu. Setiap insan ingin kembali ke fasa lebih baik,” katanya lagi.

Perkongsian dibuat Syafie setakat artikel ini ditulis, ia telah mencuri perhatian warganet hampir mencecah 87,000 pelayar IG, sementara pada ruang komen dihujani 309 komen.