X

Kindly register in order to view this article
!

Van bawa tahanan dirempuh lori

Van milik Jabatan Penjara Malaysia terlibat kemalangan ketika sedang membawa tiga tahanan di di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Merlimau, pagi tadi.
A
A

MELAKA - Van milik Jabatan Penjara yang sedang membawa tiga tahanan terlibat kemalangan dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Merlimau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, van berkenaan dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Mahkamah di Muar, Johor sebelum kemalangan berlaku kira-kira jam 8.15 pagi.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, seorang pegawai jabatan, Mohd Syafiq Mohd Rashid, 26, yang memandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tangan.

Katanya, pemandu lori yang berusia 44 tahun juga mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Lori yang terlibat kemalangan dengan kenderaan Jabatan Penjara Malaysia di Merlimau pagi tadi.
Lori yang terlibat kemalangan dengan kenderaan Jabatan Penjara Malaysia di Merlimau pagi tadi.

"Lima lagi penumpang van yang juga pegawai Jabatan Penjara Sungai Udang berusia antara 23 dan 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Turut terselamat adalah tiga tahanan lelaki di dalam van tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Arshad, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Merlimau menuju ke Muar merempuh van tersebut.

"Kemalangan mengakibatkan lori berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah kereta lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Pemandu kereta berusia 20 tahun itu yang juga pelajar Politeknik Merlimau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Tambahnya kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut dan kes disiasat kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!