Tiada sebab Dr Mahathir letak jawatan: Mohd Amar

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengulangi pendirian tiada sebab yang kukuh kenapa Tun Dr Mahathir Mohamad perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pelantikan Perdana Menteri adalah seharusnya mengikut penggal, jika ia tidak melibatkan pembubaran Parlimen dan sebagainya.

"Dalam keadaan sekarang ini tiada sebab pun Dr Mahathir perlu letak jawatan dan isu ini tidak patut diperbesarkan, kecuali ini melibatkan masalah dalaman dalam Pakatan Harapan (PH).

"Itu pendirian kita, kita tidak setuju dengan perkara tersebut sebab proses peralihan perlu mengikut prosedur biasa seperti PRU dan sebagainya. Pendirian kita masih konsisten, kenapa perlu buat undi tidak percaya sedangkan semuanya ada perjanjian," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas Majlis Executive Talk bersama Dr Zakir Naik di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Terdahulu, Mohd Amar mengulas mengenai kenyataan media Pas Pusat tentang isu undi tidak percaya melibatkan isu pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penganti Dr Mahathir.

Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan berkata, 18 Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Mohd Amar turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang dilihat terlalu drastik mahu Dr Mahathir melepaskan jawatan tersebut, seolah-olah wujud perebutan dikalangan pemimpin PH sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, ia juga menunjukkan kepada masyarakat luar yang Malaysia ini tidak stabil, sehingga beri kesan kepada pelabur. Tunggu habis tempohlah, sekarang belum sampai masanya.

"Apa yang kita nyatakan sekarang adalah pendirian kita, sebab wujudnya gesaan tersebut. Sedangkan kita merasakan ia tidak perlu. Bagi kita, kalau timbul gesaan seperti ini, mesti ia ada kaitan dengan masalah dalaman," katanya.