Polis Terengganu tahan 11 individu terlibat kumpulan pengganas sejak 2013

Aidi (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu antara Asisten Komisioner Zakaria Haron (kiri) kepada Superintendan Zainol Ahmad di IPK Terengganu hari ini.
Aidi (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu antara Asisten Komisioner Zakaria Haron (kiri) kepada Superintendan Zainol Ahmad di IPK Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan seramai 11 individu warga tempatan sejak 2013 kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 30 tahun dan majoriti mereka adalah penganggur.

Bagaimanapun katanya, ada juga yang ditahan merupakan pemegang ijazah di universiti tempatan di negara ini.

"Mereka semuanya ditahan sejak 2013 lagi. Kita kenal pasti mereka ini tinggal di merata-rata dan berpindah-randah di satu tempat ke tempat yang lain. Selain itu, kita dapati mereka bukannya ahli kumpulan yang aktif.

"Cuma mereka menyertai kumpulan pengganas Daesh ini adalah untuk menyokong selain lebih kepada rasa kasihan dan simpati selepas melihat apa yang disiarkan oleh kumpulan itu di dalam media sosial," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu di Dewan Redang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini.

Aidi berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berhubung kegiatan itu bagi memastikan ia tidak menular di Terengganu.

Menurutnya, pemantauan kini turut difokuskan di kawasan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seorang lelaki tempatan dari Kampung Teris, Hulu Terengganu yang juga ketua sel 'Wolf Pack' pengganas Daesh di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas lapan pertuduhan termasuk merancang pembunuhan ke atas empat individu berprofil tinggi serta serangan berskala besar ke atas tempat ibadat bukan Islam di negara ini.

Terdahulu, media melaporkan, empat lelaki disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas yang merancang melancarkan operasi pembunuhan berprofil tinggi, ditahan di sekitar Terengganu dan Lembah Klang pada Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua suspek terbabit antaranya mempunyai perancangan melancarkan operasi pembunuhan bagi menuntut keadilan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya tahun lepas.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditangkap mengaku menganggotai sel 'Wolf Pack' pengganas Daesh serta bersedia untuk melancarkan serangan di negara ini pada minggu pertama bulan Ramadan bagi membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib.