Wang simpanan RM19,000 lesap sekelip mata

Hamdan
Hamdan
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM19,000 lesap sekelip mata selepas ditipu sindiket Macau Scam.

Kejadian berlaku semasa lelaki berusia 68 tahun menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Iskandar Daud kononnya dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) semasa sedang berehat di rumahnya di Kuala Ibai, di sini, kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.

Menurut sumber, individu berkenaan mendakwa mangsa dikenal pasti terlibat dengan kumpulan internet judi online haram yang diketuai oleh 'James Wang' dan juga aktiviti pemindahan wang haram.

Jelas sumber, mangsa juga diberitahu bahawa waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan yang sekaligus mengundang rasa bimbang dan takutnya.

"Bagaimanapun, mangsa dimaklumkan yang dia masih boleh mengelak daripada ditangkap dengan cara memindahkan semua wang di dalam akaun simpanannya ke satu akaun kononnya di bawah jagaan mahkamah.

"Tanpa berlengah disebabkan terlalu takut, mangsa bersetuju melakukan tiga transaksi pindahan wang yang berjumlah keseluruhan RM19,000 ke dalam nombor akaun diberikan pada hari sama panggilan diterima," katanya.

Namun, selepas berbuat demikian, mangsa baru menyedari dirinya sudah ditipu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua JSJK Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Chendering, di sini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.