KLIA laksana PRS bagi persekitaran lapangan terbang digital

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia Airports Holdings Bhd akan melaksanakan Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Disember ini sebagai antara usaha mendigitalkan persekitaran lapangan terbang, sejajar inisiatif Airports 4.0.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pelaksanaan PRS akan memberikan lebih keberkesanan kepada lapangan terbang dan syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA kerana membolehkan pengesahan masa nyata ke atas maklumat penumpang di semua pusat pemeriksaan imbasan.

Menurutnya, keselamatan lapangan terbang dan pesawat turut dipertingkat antaranya bagasi yang tidak dituntut penumpang dapat dikenal pasti dengan pantas dan dialihkan sekali gus meningkatkan prestasi ketepatan masa syarikat penerbangan.

“Pelaksanaan PRS akan membolehkan penumpang menikmati perjalanan lebih lancar apabila melalui pelbagai pusat pemeriksaan di lapangan terbang. Aspek keselamatan yang dipertingkat menerusi PRS itu akan membolehkan Malaysia Airports melaksana konsep ‘pintu terbuka’ di semua ruang menunggu pelepasan di terminal KLIA2.

“Ketika ini ruang menunggu pelepasan mempunyai dinding kaca untuk tujuan keselamatan. Kami tidak lagi mahu menggunakan dinding kaca itu untuk menyediakan ruang lebih luas supaya penumpang dapat duduk dengan selesa sementara menunggu pelepasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penumpang yang tiba lebih awal di pintu pelepasan perlu menungggu kakitangan syarikat penerbangan membuka pintu masuk untuk ke tempat duduk ruang menunggu pelepasan. Ini antara yang disuarakan penumpang menerusi maklum balas kepada pengendali lapangan terbang.

“Sejajar hasrat kami untuk mewujudkan kegembiraan kepada pengunjung lapangan terbang sebagai hos yang bertanggung jawab, kebanyakan inisiatif yang dipertingkat itu dilaksanakan berdasarkan maklum balas penumpang.

“Kami bersama-sama AirAsia telah memulakan konsep ‘pintu terbuka’ ini di ruang istirehat pelepasan domestik dan pelanggan amat menghargai inisiatif ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: