Lelaki miliki lebih RM10.5 juta mata wang Brazil palsu ditahan

Zaini (dua, dari kiri) menunjukkan wang kertas real 10,000 palsu yang dirampas di CIQ Tawau, Isnin lalu.
Zaini (dua, dari kiri) menunjukkan wang kertas real 10,000 palsu yang dirampas di CIQ Tawau, Isnin lalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia bersama mata wang Brazil yang dipercayai palsu bernilai real 10,000,000 di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau, Isnin lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, suspek berumur 27 tahun itu ditahan ketika menaiki feri ke Nunukan, Indonesia kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau yang sedang membuat pemeriksaan di kawasan itu.

"Polis membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak mengandungi 1,000 wang kertas bernilai real 10,000 yang berjumlah 10 juta mata wang Brazil," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kesemua wang tunai berkenaan dipercayai palsu kerana kebanyakann wang kertas itu mempunyai nombor siri yang sama dan dicetak mengunakan pencetak berkualiti tinggi.

"Siasatan awal mendapati pada hari yang sama, suspek dari Nunukan, Indonesia ke Tawau untuk berjumpa dengan seorang lelaki yang mahu membeli wang tunai berkenaan dengan harga RM20,000.

"Namun difahamkan jual beli berkenaan tidak berjalan lancar disebabkan pembeli berkenaan hanya mahu membeli wang tunai terbabit dengan harga RM10,000 dan suspek kemudiannya mengambil keputusan kembali semula ke Nunukan sebelum ditahan pihak polis," katanya.

Zaini berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti dari mana wang tunai palsu itu diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki mata wang kertas palsu. - Bernama

Artikel Berkaitan: