Geng Myanmar pecah rumah tumpas

Nor Azmi (tengah) menunjukkan antara rampasan barang curi susulan tertangkapnya empat suspek di Kampung Tasik Permai Ampang baru-baru ini.
A
A

AMPANG - Taktik Geng Myanmar yang menggunakan wanita kononnya bagi mengaburi kegiatan jenayah pecah rumah akhirnya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di Kampung Tasik Permai Ampang di sini.

Dalam serbuan pertama pada jam 9 malam, Isnin lalu polis menyerbu sebuah rumah dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar.

Antara rampasan barang curi susulan tertangkapnya empat suspek di Kampung Tasik Permai Ampang baru-baru ini.
Antara rampasan barang curi susulan tertangkapnya empat suspek di Kampung Tasik Permai Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah lagi rumah kira-kira jam 1 pagi dan menahan tiga individu membabitkan pasangan suami isteri warga Myanmar serta seorang lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu kita telah menemui 347 utas jam tangan pelbagai jenama, komputer riba (22) dan telefon bimbit (14) serta kamera video (5).

“Turut dirampas iaitu enam buah kamera pelbagai jenama, hard disk (3) dan penguji belian (2) serta sarung tangan (2) dipercayai hasil samun dan peralatan digunakan untuk pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.

Antara hasil curi yang dirampas.
Antara hasil curi yang dirampas.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, hasil tangkapan kesemua suspek pihaknya telah berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar daerah ini.

Tambahnya, modus operandi yang digunakan geng itu adalah bergerak secara berkumpulan dengan mensasarkan rumah teres selain menggunakan suspek wanita bagi memastikan kegiatan jenayah mereka sukar dikesan.

"Mereka menyangka dengan adanya wanita dalam kumpulan itu akan mengurangkan syak wasangka daripada orang awam yang mungkin melihat mereka adalah ahli keluarga," katanya.

Antara rampasan barang curi susulan tertangkapnya empat suspek di Kampung Tasik Permai Ampang, baru-baru ini.
Antara rampasan barang curi susulan tertangkapnya empat suspek di Kampung Tasik Permai Ampang, baru-baru ini.

Noor Azmi berkata, polis percaya geng ini aktif pada waktu malam.

"Siasatan juga mendapati kesemua warga Myanmar itu adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kita masih jalankan siasatan lanjut bagi mengesan pembeli barangan hasil curi tersebut," katanya.

Katanya, kesemua suspek berusia 27 hingga 52 tahun itu kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.