Keputusan subsidi petrol bersasar kepada B40 diumum dalam masa terdekat

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan akan mengumumkan keputusan pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam masa terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata satu kertas bersama telah dimuktamadkan oleh kementeriannya dan Kementerian Kewangan untuk dibentangkan kepada jemaah menteri.

Katanya kertas bersama itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan yang beliau hadiri bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta pegawai kanan di dua kementerian itu semalam.

"Dalam masa terdekat ini, ia akan dibentang kepada jemaah menteri untuk diberi lampu hijau jika jemaah menteri berpuas hati dan jika tidak berpuas hati akan ada pembetulan.

"Jika jemaah menteri berpuas hati, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Katakan Tidak Kepada Tipuan Bida anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Pengerusi MyCC Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus turut hadir pada seminar julung kali diadakan oleh suruhanjaya itu.

Saifuddin Nasution diminta mengulas berhubung Bajet 2019 dibentangkan oleh Lim pada November tahun lepas menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Artikel Berkaitan:

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Mengenai penyalahgunaan Permit Kelulusan (AP) diberikan untuk mengimport kubis bulat yang menimbulkan isu persaingan dan menyebabkan harga sayur meningkat, Saifuddin Nasution berkata laporan dapatan kajian pasaran sektor makanan dikendali MyCC itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri.

Katanya ia akan disusuli dengan tindakan termasuk penambahbaikan mana-mana agensi dan kementerian dalam urusan import kubis bulat itu.

"Ia bukan satu pembentangan sahaja menerusi hasil dapatan kajian oleh MyCC yang mengambil masa sembilan bulan itu tetapi disusuli dengan tindakan," katanya

Pada Selasa lepas, beliau merasmikan terbitan dapatan Kajian Pasaran Sektor Makanan itu di Kuala Lumpur. - Bernama