Polis rampas pistol bersama 48 butir peluru

Azmi menunjukkan pistol yang dirampas susulan tertangkap seorang lelaki di Lebuhraya Besraya semalam.
Azmi menunjukkan pistol yang dirampas susulan tertangkap seorang lelaki di Lebuhraya Besraya semalam.
A
A
A

AMPANG JAYA - Tindakan seorang lelaki memecut kenderaannya sejauh kira-kira tiga kilometer bagi mengelak dicekup polis mengundang padah apabila dia diberkas bersama sepucuk pistol miliknya semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, suspek lelaki tempatan yang menaiki Proton Iswara dikesan dalam keadaan mencurigakan di Pandan Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, bagaimanapun tindakan suspek bersama seorang rakannya yang memecut hingga Lebuhraya Besraya gagal selepas keretanya bergesel dengan enam buah kenderaan lain.

"Suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis. Namun, rakan suspek berjaya meloloskan diri.

Pistol yang dirampas susulan tertangkap seorang lelaki di Lebuhraya Besraya semalam.
Pistol yang dirampas susulan tertangkap seorang lelaki di Lebuhraya Besraya semalam.

"Pemeriksaan pada beg silang yang dipakai mangsa menjumpai sepucuk pistol Hogue Grips, kelopak serta 48 butir peluru," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai 18 rekod lampau bersabit kes dadah, pecah rumah, samun serta rekod dikehendaki.

Katanya, dipercayai suspek yang didapati positif dadah ini dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan beberapa kes jenayah lain.

Artikel Berkaitan:

"Soal siasat suspek mendakwa pistol itu dibeli daripada seorang individu dengan harga RM15,000. Kita masih siasat sama ada senjata itu pernah diguna suspek dalam kegiatan jenayah lain.

Peluru yang dirampas susulan tertangkap seorang lelaki di Lebuhraya Besraya semalam.
Peluru yang dirampas susulan tertangkap seorang lelaki di Lebuhraya Besraya semalam.

"Usaha memburu rakan suspek juga masih dijalankan dan orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat semasa kejadian untuk tampil bantu siasatan," katanya.

Tambahnya, suspek berusia 51 tahun itu kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.