Rayuan Rafizi terhadap penjara 30 bulan didengar September ini

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Prosiding perbicaraan bagi permohonan rayuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung sabitan dan hukuman 30 bulan penjara kerana bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) tujuh tahun lalu ditangguhkan 25 September ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafar menetapkan tarikh itu hari ini selepas peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang maklum balas berhubung representasi dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Tiada bantahan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman selaku respondan.

Bercakap kepada Sinar Harian, Ahmad Nizam berkata, pihaknya memfailkan representasi sekitar Jun lalu.

"Setakat ini kami masih belum menerima sebarang maklum balas jadi kami mohon tarikh baharu kepada mahkamah untuk mendengar rayuan ini," katanya.

Pada 7 Februari 2018, Rafizi dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas disabitkan dengan pertuduhan tersebut.

Hakim Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman sama terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad selepas didapati bersalah bersubahat dengan Rafizi.

Mohd Rafizi, 42, bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 97(1) BAFIA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya.

Johari, 48, juga disabit bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta sama.