Maqis perketat kawalan pintu masuk negara

Pegawai Maqis menunjukkan udang geragau yang disita ketika melalui Kompleks Sultan Abu Bakar pada 1 Ogos lalu.
Pegawai Maqis menunjukkan udang geragau yang disita ketika melalui Kompleks Sultan Abu Bakar pada 1 Ogos lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan penyeludupan udang geragau seberat 240 kilogram (kg) dengan anggaran RM4,000 di laluan eksport Kompleks Sultan Abu Bakar, dekat sini 1 Ogos lalu.

Hasil pemeriksaan pegawai Maqis mendapati lori membawa konsainan itu tidak mengisytiharkan udang geragau di dalam permit eksport dikeluarkan oleh jabatan untuk dieksport ke Singapura.

Pengarah Maqis Johor/Melaka, Nur Afifah A Rahman berkata, pengimport telah disiasat dan akan didakwa mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama iaitu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak lebih RM150,00 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan.

Nur Afifah berkata, Maqis sentiasa memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia.

"Serta mengawal kemasukan penyakit yang boleh mengancam industri penternakan dan makanan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Maqis turut menahan sebuah lori membawa konsainan buah-buahan dan sayur sayuran di laluan lori eksport, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Artikel Berkaitan:

Kesemua buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut dengan anggaran berat 615.15 kg dengan nilai kira-kira RM1,258.57.

Pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut mendapati pengeksport gagal mengemukakan permit eksport dikeluarkan oleh Maqis terhadap enam bakul pisang, dua bakul tebu, satu bakul halia, 20 beg lengkuas, dua bakul betik dan dua beg kunyit.

"Konsainan tersebut ditahan dan disita untuk tindakan lanjut. Pengeksport akan disiasat di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya.