Lembu seludup bernilai RM44,800 dirampas

MAQIS merampas kesemua 16 lembu seludup bernilai RM44,800.
MAQIS merampas kesemua 16 lembu seludup bernilai RM44,800.
A
A
A

TUMPAT - Lembu bernilai RM44,800 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) minggu lepas.

Pengarahnya, Mohd Azam Yahya berkata, cubaan menyeludup 16 lembu itu dipatahkan dalam operasi bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di tebing sungai sempadan Malaysia - Thailand.

"Kita percaya menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi, lembu akan banyak diseludup masuk ke negara ini.

"Namun kita akan sentiasa mengekang penyeludupan dan kerjasama seperti ini termasuk dengan agensi penguatkuasa lain ditingkatkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azam berkata, lembu yang dirampas itu diperiksa dan didapati tidak mempunyai dokumen yang sah seperti permit import (IP) daripada MAQIS.

Menurutnya, perbuatan mengimport lembu tanpa mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Bagi kesalahan ini, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11(3) dalam akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, MAQIS juga sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang masuk ke Malaysia adalah bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara.

Katanya, pihak terlibat perlu mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.