Usah sangsi tulisan jawi

A
A

KADANG -kadang pelik juga orang politik di Malaysia ini. Setiap hari ada sahaja kenyataan pelik dan luar biasa ditimbulkan oleh mereka. Minggu lalu barangkali yang paling memeningkan.

Dua perkara yang menarik perhatian ramai sudah tentulah berkenaan dengan cadangan seorang Senator untuk mewujudkan akta bagi melindungi lelaki dan reaksi seorang Ahli Parlimen dengan cadangan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Antara dua itu, sudah tentu isu khat dan jawi lebih menarik perhatian semua.

Mengapa menarik? Mungkin kerana apabila kerajaan mengumumkan hasrat tersebut, bantahan berlaku dalam kalangan pemimpin kerajaan sendiri.

Marahnya mereka dengan cadangan itu sehingga ia disifatkan seumpama menyapu najis lembu ke muka sendiri. Entah apalah masalahnya sampai tergamak mengeluarkan kata-kata yang menghina sedemikian.

Yang pasti reaksi itu menyerlahkan lagi sifat cauvinis dan kiasu sang pemimpin yang tidak selari dengan hasrat Malaysia Baharu yang dijanjikan dan diperjuangkan.

Pelik juga mengapa takut benar dengan penggunaan tulisan jawi dan khat itu. Yang selalu orang takut ialah ‘masuk jawi’ (baca: berkhatan).

Sebab itu ada gurauan mengatakan orang bukan Islam takut masuk Islam sebab ngeri kena ‘masuk jawi’, aduhai!

Ketakutan pada tulisan jawi ini barangkali dapat disimpulkan atas tiga perkara; satu ia dikatakan tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sepertimana yang didakwa, kedua ada kerisauan yang ia akan menambah beban para pelajar dan terakhir kegusaran bahawa ia adalah langkah Islamisasi terhadap bukan Islam.

Malah ada yang bertanya juga kenapa tulisan jawi, bukan yang lain? Kalau seseorang yang cintakan ilmu dan minat belajar, semua soalan itu dianggap remeh dan tidak berasas.

Andaikanlah bahawa benar belajar menulis jawi akan menjadikan kita Islam seperti yang didakwa.

Sehingga sekarang, kita masih belum mendengar ada individu yang masuk Islam kerana belajar menulis jawi. Malah jawi tiada kaitan langsung dengan agama Islam dan al-Quran.

Kalau benarlah begitu sudah tentu bekas Perdana Menteri Singapura, Mendiang Lee Kuan Yew sudah masuk Islam. Malah mungkin Sasterawan Dr Lim Swee Tin akan lebih ‘Islam’ daripada orang Melayu kerana beliau lebih mahir menulis dan membaca jawi berbanding sesetengah orang Melayu yang lain.

Tulisan jawi dan khat ini sebenarnya adalah sebahagian daripada seni warisan dan budaya negara. Ia sama dengan seni kaligrafi lain sepertimana kaligrafi Cina yang telah berkembang selama tiga ribu tahun menggambarkan kekayaan dan kemajuan tamadun China.

Begitu jugalah jawi, berkembang sejajar dengan perkembangan budaya dan tamadun Melayu sejak wujudnya kerajaan Melayu Islam Melaka.

Berbanding kaligrafi Cina yang bersifat karakter atau simbol yang mewakili sesuatu perkataan, ungkapan ataupun simbol, tulisan jawi lebih mudah dipelajari kerana ia mewakli sesuatu huruf sama seperti belajar ABC. Mudahnya belajar dan menulis jawi ini kerana ia hanya menggunakan 37 huruf yang boleh dipadankan dengan tulisan rumi.

Sebab itu ia boleh dikuasai dalam masa yang sangat singkat.

Sepatutnya dalam perkara ini tiada pihak yang patut melenting sehingga ke tahap yang memalukan diri sendiri. Kekeliruan dan salah faham tentang tulisan jawi ini tidak perlu dipolemik dan dipolitikkan.

Secara peribadi, mungkin lebih baik kalau Kementerian Pelajaran turut sama mencadangkan agar kaligrafi Cina juga turut diajar dan diperluaskan kepada semua murid di Sekolah Kebangsaan. Ini kerana banyak manfaat yang bakal diperoleh daripadanya.

Lagipun memang trend dunia hari ini menggalakkan individu untuk memiliki kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa.

Lihatlah video tular seorang kanak-kanak Kemboja bernama Thaksin di Siem Reap yang memukau para pelancong dengan kebolehannya bertutur dalam 10 bahasa. Thaksin mampu berbuat demikian hanya dengan belajar dari pelancong yang berkunjung ke situ tanpa perlu ke sekolah.

Bayangkan anak-anak kita yang diajarkan bahasa-bahasa utama di sekolah kebangsaan kita, sudah tentu mereka mempunyai nilai tambah dan kelebihan berbanding orang lain di serata dunia.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.