Gempa bumi 5.9 magnitud gegar Taiwan

A
A

TAIPEI - Satu gempa berukuran 5.9 magnitud melanda Taiwan hari ini.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada jam 5.28 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10km di timur laut daerah Yilan.

Namun, biro cuaca pusat Taiwan melaporkan gempa bumi dengan kekuatan 6 magnitud.

Kejadian itu turut menyebabkan bangunan tinggi di Taipei bergoyang hingga mengejutkan ramai penduduk yang sedang tidur.

Pihak berkuasa berkata, bekalan elektrik turut terputus sehingga menjejaskan 1,300 buah rumah manakala Pentadbiran Kereta Api Taiwan menggantung perkhidmatannya dibeberapa lokasi di Yilan.

Tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima setakat ini.

Pada April lalu, gempa bumi berkekuatan 6.1 magnitud melanda pulau itu mengakibatkan 17 cedera selain menjejaskan lalu lintas dan trafik. - CNA