June Leow serah sumbangan projek bina masjid

June Leow menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Bukit Beruntung.
June Leow menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Bukit Beruntung.
A
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Bukit Beruntung.

Wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, sumbangan disalurkan melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Selangor bagi membantu pihak berkenaan yang kini giat mengumpul dana berjumlah RM16 juta untuk pembinaan masjid berkenaan.

Menurutnya, beliau turut menghantar surat rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai inisiatif bagi mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk tujuan tersebut.

"Masjid baharu ini adalah satu keperluan bagi menampung lebih 30,000 penduduk di sekitar Bukit Beruntung.

"Saya harap semua pihak termasuk masyarakat setempat tampil menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan hasrat ini," katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut semalam.

Terdahulu, pengerusi jawatankuasa penaja pembinaan masjid, Abdullah Muhammad memaklumkan pembinaan Masjid Bukit Beruntung di Seksyen BB4 dijangka bermula awal 2021.

Menurutnya, masjid baharu dengan reka bentuk moden kontemporari itu akan dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar berhampiran Surau Al-Muhajirin.

Beliau berkata, reka bentuknya mengambil kira persekitaran lokasi dengan mengekalkan kontur tanah melalui pembinaan bangunan dengan konsep 'split level'.

Artikel Berkaitan:

"Kemudahan ini dapat menampung 2,150 jemaah termasuk 400 jemaah wanita pada satu masa selain dilengkapi beberapa prasarana termasuk dewan.

"Buat masa sekarang, Surau Al-Muhajirin digunakan sementara untuk solat Jumaat, jadi sebuah masjid baharu amat diperlukan demi keselesaan jemaah," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Public Islamic Bank bernombor 3814218436 atas nama Pembinaan Masjid Bukit Beruntung dan sebarang maklumat boleh berhubung dengan Abdullah di talian 019-2186600.