Batal bantuan lumpuhkan penanaman semula

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan skim bantuan penanaman semula kelapa sawit bagi pekebun kecil dilihat akan melumpuhkan aktiviti penanaman semula dalam kalangan mereka.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan itu juga akan memberikan kelebihan kepada syarikat perladangan besar dengan kemampuan modal yang kukuh.

"Rata-rata pekebun kecil adalah bumiputera Melayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak dengan sebilangan kecilnya kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.

"Pembatalan bantuan tanam semula sudah pasti akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun kecil dan seterusnya menjejaskan sumber pendapatan serta sosioekonomi mereka," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif.

Dr Azman turut menyatakan pendirian bahawa apa saja dasar yang baik untuk rakyat di bawah kerajaan sebelum ini perlu diteruskan.

Ini kerana katanya majoriti pekebun kecil tidak mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula yang tinggi.

"Tidak masuk akal alasan menteri kononnya mahu mewujudkan keadilan kepada pekebun lain terutamanya dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Artikel Berkaitan:

"Menteri tak faham apa itu makna keadilan. Keadilan bermakna memberi kepada mereka yang berhak.

"Kedua-dua agensi besar itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula namun pekebun-pekebun kecil telah sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan.

"Apatah lagi dalam situasi pendapatan dari hasil sawit sekarang tak mencukupi untuk menyara keluarga," katanya.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Katanya, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.