Lynas anjur solat hajat

Solat hajat diimamkan Imam Masjid negeri, Datuk Badli Shah di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam ini.
Solat hajat diimamkan Imam Masjid negeri, Datuk Badli Shah di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam ini bagi memohon mempermudah segala urusan Lynas Malaysia Sdn. Bhd (Lynas).

Pengurus Kanan Sumber Manusia Lynas, Jumaat Mansor berkata, solat hajat ini juga sebagai usaha terakhir agar Lynas dapat beroperasi seperti biasa selain memberi hidayah kepada pihak-pihak yang memandang serong terhadap kewujudan syarikat berkenaan.

Menurutnya, antara pengisian lain ialah Ceramah Perdana dan Solat Hajat sempena peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal diduduki pelajar sekitar daerah ini tidak lama lagi.

Solat hajat itu diimamkan oleh Imam Masjid Negeri, Datuk Badli Shah Alauddin selepas menunaikan solat Isyak.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu, beberapa lagi pemimpin masyarakat dan pekerja-pekerja Lynas.

Terdahulu, majlis itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, ucapan alu-aluan oleh wakil Lynas, Jumaat Mansor diikuti ceramah oleh Badli Shah dan penceramah jemputan, Zul Ramli M. Razali bertajuk 'Fitnah, Bencana Akhir Zaman.'

Lynas dilaporkan membuat permohonan pembaharuan lesen operasinya pada 2 Ogos lalu iaitu sebulan sebelum lesen mereka tamat pada 2 September ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan keputusan sama ada kilang nadir bumi syarikat berkenaan dibenarkan memperbaharui lesen tersebut akan diketahui selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Artikel Berkaitan: