Skim pinjaman untuk pekebun kecil sawit diteruskan

Teresa Kok (depan, lima dari kiri) bersama peserta yang hadir pada Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Selangor di Tanjong Karang semalam.
Teresa Kok (depan, lima dari kiri) bersama peserta yang hadir pada Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Selangor di Tanjong Karang semalam.
A
A
A

TANJONG KARANG- Kerajaan meneruskan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) kepada pekebun kelapa sawit di negara ini.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, skim pinjaman itu tidak membebankan kerana faedah dikenakan kepada pekebun kecil sawit hanya pada kadar dua peratus setahun.

“Kadar faedah itu masih dianggap rendah dan tidak membebankan pekebun kecil. Sebanyak RM550 juta telah pun diperuntukkan Kementerian Kewangan untuk tujuan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanam Sawit Selangor di Dewan Tan Sri Noh Omar di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi TSPKS dan RM50 juta lagi bagi IPPKS dan semua pekebun kecil boleh mengemukakan permohonan.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia( MPOB) akan mula terima permohonan pada 15 Ogos ini dan Agro Bank akan menguruskan semua permohonan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak lagi memperkenalkan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) kerana mahu berlaku adil dengan agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

“Jika kerajaan beri geran percuma kepada pekebun kecil sawit, kita mewujudkan satu keadaan yang tidak adil,” katanya.

Artikel Berkaitan: