Pekerja putus ibu jari: Syarikat kuari didenda RM15,000

A
A

IPOH - Sebuah syarikat kuari dijatuhkan hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas didapati cuai sehingga menyebabkan seorang pekerjanya putus ibu jari tangan kiri pada Februari lalu.

Syarikat GB Kuari Sdn Bhd dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan di bawah Seksyen 15, Akta Kilang dan Jentera 1967 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.

Mengikut pertuduhan, kemalangan pada 21 Februari 2019 jam 4.30 petang itu berlaku ketika pekerja am dari syarikat kontraktor yang dilantik sedang mengendalikan mesin di Svedala dan Norberg Crushing plant di syarikat kuari yang beroperasi di Kuala Dipang, Kampar.

Pekerja tersebut kemudiannya mendapat kecederaan parah iaitu putus satu ruas ibu jari tangan kiri akibat terkena tali sawat yang sedang berputar.

Oleh itu, syarikat terbabit didapati gagal memastikan bahagian jentera berbahaya iaitu tali sawat dipagar dengan sempurna sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada pekerja tersebut.

Setelah pertuduhan dibacakan, wakil syarikat berkenaan, Manjit Singh mengaku bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Norashima kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau enam bulan penjara jika denda gagal dibayar.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Shahril Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.