Bangun sektor pelancongan kesihatan di Langkawi

Langkawi. Gambar kecil: Amiruddin
Langkawi. Gambar kecil: Amiruddin
A
A
A

ALOR SETAR - Sektor pelancongan kesihatan berpotensi dibangunkan di Langkawi kerana memiliki pelbagai fasiliti terutama Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang menawarkan penerbangan terus dari luar negara.

Datuk Amiruddin Hamzah (Bersatu-Anak Bukit) berkata, negara ini juga dinobatkan sebagai destinasi lima terbaik dunia dalam sektor berkenaan dan mampu memberi tempias kepada Langkawi sebagai lokasi baharu pelancongan kesihatan negara.

Menurutnya, sebelum ini terdapat perancangan membangunkan Pantai Kok termasuk membina hospital antarabangsa di Langkawi, dan berharap projek itu dapat dikaji semula.

“Kita boleh jadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan kesihatan yang hebat dengan menaik taraf beberapa aspek. Selain memiliki pemandangan indah, pelancong boleh dapatkan rawatan di pulau legenda,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) berhubung cadangan Institut Jantung Negara (IJN) mengadakan kerjasama dengan Hospital Kulim sebelum ini, Amiruddin yakin ia mampu melonjakkan Kedah sekiranya cadangan itu direalisasikan.

“Ada cadangan wujudkan satu pusat IJN di Utara, untuk penuhi keperluan penduduk setempat namun kurang sesuai jika dibina di Langkawi, mungkin boleh dicadangkan bina di tanah besar Kedah, saya yakin sektor ini mempunyai pasaran luas,” katanya.

Amiruddin turut mencadangkan agar Kedah mempelbagaikan penerokaan dalam sektor pelancongan lain, antaranya pelancongan pelayaran atau River Cruise.

“Bangunkan River Cruise menyusuri Sungai Kedah dan Sungai Merbok, seperti di Melaka. Pakejkan khazanah sedia ada, bermula dari Ampang Jajar ke Tanjung Chali, sudah ada inisiatif perindahkan bangunan warisan di Pekan Cina dan Pekan Melayu ada mural. Seterusnya laluan ke jeti Masjid Zahir hingga ke Sungai Bohor, termasuk Gunung Keriang yang memiliki formasi unik batuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sektor pelancongan tidak memerlukan pelaburan besar namun memberi pulangan baik kepada ekonomi negeri.

“Kedah mempunyai khazanah dan warisan lama yang perlu digilap sebagai produk pelancongan, saya yakin ia mampu gamit pelancong ke tanah besar,” katanya.

Amiruddin berkata, negara menyasarkan kemasukan 28.1 juta pelancong luar negara tahun ini dengan pendapatan kasar RM92 bilion, manakala sasaran 30 juta pelancong dengan RM100 bilion pada tahun depan.

“Kedah harus ambil peluang, antaranya pelancongan perniagaan dianggarkan seramai 2.9 juta dan menjana RM4 bilion pendapatan negara kasar, selain wujudkan 16,320 peluang kerja,” katanya.