Kes jenayah siber catat kerugian RM250 juta

Mohd Zakaria
Mohd Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes jenayah siber bagi tempoh enam bulan sejak Januari lalu mencatatkan kerugian hampir RM250 juta berdasarkan 5,069 kes yang dilaporkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, seramai 1,973 individu disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan berjaya diberkas bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tiga jenis penipuan yang menjadi trend terbaru paling banyak dicatatkan ketika ini adalah kes penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), penipuan berkaitan pembelian dalam talian (e-dagang) dan love scam.

“Bagi kes penipuan telekomunikasi, siasatan mendapati berlakunya kes kebocoran data membabitkan penggunaan jenis kad debit dan kredit.

“Pihak bank perlu main peranan dengan lebih tegas bagi memastikan data serta maklumat pengguna disimpan dengan lebih ketat dan selamat," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Menara KPJ di sini.

Mohd Zakaria berkata, bagi kes e-dagang, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian dengan mengamalkan tips kaedah pembayaran tunai sewaktu penerimaan (COD) bagi mengelakkan ditipu.

Katanya, masyarakat juga diminta lebih berwaspada untuk tidak terperangkap dengan love scam yang mana suspek menyamar dan mengatakan akan menghantar bungkusan hadiah namun ia perlu dibayar mangsa sebagai wang pemprosesan untuk melepasi pihak kastam.

Dalam pada itu, Mohd Zakaria berkata, dianggarkan sebanyak RM2 bilion kerugian direkodkan setiap tahun sejak 2015 hingga 2018 membabitkan pelbagai kes jenayah komersial termasuk pinjaman tidak wujud (PTW) dan penipuan skim pelaburan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah ini akan terus meningkat jika tidak ditangani selain boleh menjejaskan ekonomi dalaman serta luaran," katanya.