Selepas tiga tahun, prosiding kes seksual Maahad Tahfiz Al Barakah didengar

Asiah ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan di Mahkamah Majistret Ipoh.
Asiah ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan di Mahkamah Majistret Ipoh.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Majistret Ipoh hari ini mendengar prosiding kes mangsa buli seksual di Maahad Tahfiz Al Barakah, di sini.

Prosiding berkenaan dijalankan selepas ibu mangsa mengemukakan aduan kepada mahkamah selepas mendapati tiada sebarang tindakan diambil terhadap kes yang dilaporkan tiga tahun lalu.

Prosiding yang dibuat di bawah seksyen 128 Kanun Acara Jenayah itu didengar di hadapan Majistret Mohammad 'Afifi Mohammad Deen yang turut dihadiri ibu mangsa dan mangsa yang berusia 13 tahun.

Selepas mendengar aduan ibu mangsa, kronologi kes dan siasatan, Mohammad 'Afifi kemudiannya membuat kesimpulan bahawa aduan berkenaan berasas.

Sehubungan itu, tarikh 9 Oktober ditetapkan untuk memanggil Timbalan Pendakwa Raya kes tersebut bagi memberikan penjelasan melalui prosiding di bawah Seksyen 133 Kanun Acara Jenayah.

Mangsa diwakili peguam, Asiah Abd Jalil dan Sufi Aiman Azmi.

Sementara itu, Asiah yang ditemui media selepas prosiding itu berkata, aduan tersebut dikemukakan kepada Mahkamah Majistret selepas kes berkenaan tiada sebarang tindakan.

Katanya, walaupun kertas siasatan telah dihantar kepada pihak pendakwaan, tiada sebarang tindakan dibuat termasuk memanggil saksi perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

"Jika kes tersebut didapati ada kesilapan, mahkamah ada kuasa untuk mengarahkan kertas siasatan dibuka semula dan waran tangkap boleh dikeluarkan terhadap suspek.

"Kita harap kes ini akan jadi presiden kepada kes-kes seumpama ini untuk memastikan ibu-ibu mangsa tampil mendapatkan pembelaan," katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berasa lega setelah tiga tahun berusaha memastikan kes tersebut berjalan.

Dia yang berusia 37 tahun bekerja sebagai penjawat awam menjelaskan, ketika kejadian anaknya berusia 10 tahun.

Katanya, ibu bapa kepada mangsa buli seksual seperti itu perlu tampil bagi memastikan anak mereka terbela sekaligus mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Pada Ogos 2016, ibu mangsa membuat dua laporan polis mengenai kejadian buli seksual melibatkan anaknya oleh beberapa pelajar senior di sekolah tahfiz tersebut.

Kes tersebut turut mendapat perhatian beberapa individu termasuk selebriti terkenal iaitu Wardina Safiyyah dan aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi yang mendedahkan kes berkenaan melalui media sosial pada November 2016.

Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias kemudiannya tampil mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM8 juta terhadap ibu mangsa termasuk Wardina dan Syed Azmi bagi membersihkan nama serta reputasi pusat tahfiz miliknya itu.

Bagaimanapun pusat tahfiz tersebut telah pun diambil alih oleh pihak lain pada 1 September 2018 selepas pihaknya tidak mampu lagi menampung kos pentadbiran sekolah tersebut.