26 anggota JPJ Pulau Pinang dituduh rasuah masih bertugas

Seramai 18 anggota dan penguatkuasa JPJ Pulau Pinang dituduh secara berasingan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada bulan lalu. - Gambar kecil: Mohamat Johari
Seramai 18 anggota dan penguatkuasa JPJ Pulau Pinang dituduh secara berasingan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada bulan lalu. - Gambar kecil: Mohamat Johari
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kesemua pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang didakwa di mahkamah melibatkan tuduhan rasuah masih bertugas seperti biasa.

Pengarahnya, Mohamat Johari Mat Nor berkata, 26 kakitangan jabatan itu masih bertugas dan tindakan penggantungan kerja hanya akan diambil apabila pihaknya menerima surat daripada pihak berkaitan.

Menurutnya, tindakan penggantungan tugas hanya akan dilaksanakan apabila JPJ Pulau Pinang menerima surat dari mahkamah dan ibu pejabat jabatan itu apabila perbicaraan kes bermula.

"Kesemua pegawai dan anggota penguat kuasa yang didakwa masih bertugas sehingga kita menerima surat daripada mahkamah dan ibu pejabat bagi tujuan penggantungan kerja mereka yang terlibat sepanjang perbicaraan kes.

"Buat masa ini, kita sedang menunggu surat tersebut yang mana akan bermulanya penahan tugas mereka hingga kes selesai. Setakat ini belum ada (yang digantung tugas)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan penahanan 68 kakitangannya bagi membantu siasatan kes rasuah iaitu melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya itu tidak menjejaskan operasi jabatan tersebut.

"Dari jumlah yang didakwa, 60 peratus daripadanya bertugas di lapangan dengan melakukan rondaan dan operasi manakala 40 peratus lagi bertugas di pejabat atau bahagian-bahagian lain.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, kita mendapatkan bantuan daripada JPJ Perak dan Kedah bagi melicinkan operasi melibatkan kawasan-kawasan sempadan negeri ini dan negeri jiran. Oleh demikian, operasi kita tidak terjejas apabila ada bantuan daripada dua negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, 18 anggota JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth kerana didakwa menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang dipercayai melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.

16 April lalu, lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan sekitar Pulau Pinang.

Kesemua pegawai penguatkuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.

Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah membekalkan pelekat khas kepada lori yang dilindungi agar senang dikenalpasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.