Gaji rendah punca penjawat awam terlibat rasuah: Cuepacs

A
A

KUALA LUMPUR - Pendapatan kakitangan awam yang rendah pada ketika ini menjadi punca perbuatan rasuah dalam kalangan pekerja dalam sektor tersebut terus berlaku.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Azih Muda, perlu mengambil inisiatif meningkatkan kadar gaji dan upah kakitangan awam ke tahap yang lebih tinggi atau sesuai dengan kadar semasa.

"Keperluan pekerja muda pada ketika ini jauh berbeza dengan zaman dahulu. Cabaran yang terpaksa mereka lalui lebih besar.

"Mereka memerlukan kereta, rumah dan selepas berkahwin mereka akan mempunyai anak. Jadi apabila wujud tekanan, mereka akan kecundang.

"Jika ada peluang maka kemungkinan mereka akan berubah. Kami beranggapan pekerja muda tidak mahu (ambil rasuah) tetapi kerana tekanan perbelanjaan secara tidak terkawal menyebabkan berlaku perkara negatif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam, SPRM mendedahkan kegiatan rasuah dalam kalangan kakitangan awam di tahap membimbangkan apabila sejumlah 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah membabitkan golongan itu.

Berdasarkan angka tersebut, 53.4 peratus individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah.

Jumlah itu melibatkan tangkapan yang dibuat SPRM sejak 2014 hingga Jun tahun ini.

Selain itu, SPRM mendapati kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan.

Sementara itu, dalam satu kajian yang dibuat oleh suruhanjaya tersebut mendapati 22.1 peratus daripada responden penjawat awam mengatakan mereka sanggup terima rasuah sekiranya mereka ada kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam terlibat rasuah membimbangkan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia