Inkues tentukan punca kematian Adib

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara berkenaan dimaklumkan sendiri Peguam Negara Tommy Thomas kepadanya melalui perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu pihak polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

“Peguam Negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan Majistret membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.

“Pihak Pendakwa Raya akan memohon kepada Mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret berkenaan dalam menjalankan inkues itu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu.

Muhyiddin berkata dalam prosiding inkues ini, Majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.

Ini katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Muhammad Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: