Letak jawatan hanya khabar angin: MB Johor

Tular khabar angin Menteri Besar Johor letak jawatan.
Tular khabar angin Menteri Besar Johor letak jawatan.
A
A
A

KULAI - Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan beliau akan meletak jawatan nombor satu dalam pentadbiran negeri ini seperti yang tular di laman sosial.

Sebaliknya menurut Sahruddin, perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.

"Pertama, itu khabar angin. Kedua, siapa yang menyebarkan itu (khabar angin)," katanya ringkas ketika ditanya soal berkenaan.

Beliau ditemui media pada majlis menyempurnakan logo dan maskot rasmi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 sempena Johor menjadi tuan rumah pada tahun depan di Hotel Impiana di sini.

Sebelum ini, pemilik Facebook Ops Johor mendakwa Sahruddin mahu meletak jawatan akibat tekanan daripada rakyat.

Dakwa Facebook Ops Johor lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu mahu berbuat demikian disebabkan kegagalannya dalam menguruskan masalah pencemaran selain tekanan semua pihak yang kecewa dengan pentadbiran sekarang.

Sahruddin, 43, dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene pada 14 April lalu.

Ia selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyerahkan surat tauliah pelantikan sebelum Sahruddin melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor.

Artikel Berkaitan:

Sahruddin sebelum ini menyandang jawatan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor dan terpilih menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu.