Pelaburan beri manfaat untuk rakyat Kedah

Kok Yew (kiri) berbual dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) sambil diperhatikan Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh (tengah) pada Sidang DUN Kedah ke 14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Kok Yew (kiri) berbual dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) sambil diperhatikan Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh (tengah) pada Sidang DUN Kedah ke 14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Kedah berpeluang memperoleh pelbagai manfaat melalui pelaburan dalam negeri dan asing bernilai hampir RM7.6 bilion pada suku pertama 2019.

Exco Pelaburan, Tan Kok Yew berkata, pelaburan yang berjaya ditarik masuk berkenaan dilihat akan membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

Menurut Kok Yew, syarikat tempatan turut berpeluang terbabit dalam perancangan dan pembinaan sesuatu kilang serta tenaga kerja ketika proses pembinaan kilang.

"Permintaan terhadap penggunaan bahan mentah dan sumber galian tempatan untuk penghasilan penduduk juga dapat ditingkatkan.

"Rakyat Kedah dapat menikmati peningkatan ekonomi terutamanya melalui produk hiliran khususnya penduduk tempatan melalui permintaan meningkat terhadap produk makanan dan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada) berhubung pelaburan dalam negeri dan asing di Kedah berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebolehpasaran dan harga tanah di kawasan sekitar pembangunan turut ditingkatkan, selain pemindahan teknologi dan kepakaran kepada tenaga kerja tempatan.

Katanya, pelaburan meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri melalui premium dan cukai tanah, kemudiannya membolehkan semua golongan masyarakat menikmatinya melalui peruntukan pembangunan dan penyediaan infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

"Nilai pelaburan hampir RM7.6 bilion itu melibatkan 10 projek dari industri barangan elektrik dan elektronik, kertas, percetakan dan penerbitan, kelengkapan dan pengangkutan, barangan logam dibentuk dan kimia serta barangan kimia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kok Yew memberitahu tiada pelaburan keluar dilaporkan di bawah pentadbiran kerajaan PH.