JKM cari ibu kandung Ira, Muhammad Ammar

Ira (kiri), Muhammad Ammar
Ira (kiri), Muhammad Ammar
A
A
A

SUBANG JAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggesa ibu kandung atau waris kepada seorang remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki tampil bagi melengkapkan proses dokumen pengenalan diri mereka.

Pelindung Kanak-kanak JKM Subang Jaya, Raja Norul Fazzilla Raja Halim berkata, pihaknya menerima rujukan kes dari Hospital Kajang berhubung seorang remaja perempuan bernama Ira Amira,15, pada 22 April lalu.

Menurutnya, remaja berkenaan disyaki mangsa pengabaian ibu bapa kandung yang menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga kini.

“Ibu kandungnya yang merupakan warga Indonesia menghilangkan diri dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) selepas melahirkan Ira pada 22 Januari 2004.

“Bapanya juga menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan hingga kini. Ira kemudian diserahkan kepada sebuah keluarga selepas dilahirkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pasangan suami isteri yang memelihara Ira didapati tidak pernah mendaftarkan kelahirannya dan tidak pernah melakukan proses pendaftaran anak angkat.

Katanya, kes remaja berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-kanak pada 2 Mei lalu bagi penempatan di dalam jagaan keluarga pelihara sehingga 8 Ogos ini.

“Kesnya akan dibawa semula ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah tetap pada 8 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, kami mohon mereka yang ada maklumat mengenai ibu kandung atau waris Ira dapat hubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subang Jaya di talian 0356343095,” katanya.

Dalam pada itu, JKM turut memohon ibu kandung atau waris kepada Muhammad Ammar Fathoni, 9, untuk tampil bagi membantu urusan dokumen dan penempatan kanak-kanak itu kelak.

Pelindung Kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Midah Abd Aziz berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan ibu kandung kepada seorang individu tanpa sebarang dokumen pada 2014.

Menurutnya, ibu kandung tidak datang menuntut kanak-kanak itu selepas diserahkan kepada sebuah keluarga di Bandar Sunway.

“JKM dalam usaha mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak ini bagi tujuan penempatan dan kebajikan.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan ibu kandung atau waris kanak-kanak boleh menghubungi talian 03-7842 2584/2587 atau hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Petaling di Persiaran Atmosfera Sek U5 Shah Alam.

“Ia bagi membantu mahkamah membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan kebajikan kanak-kanak dalam kes yang akan disebut semula pada 15 Ogos ini,” katanya.