13 nelayan positif dadah ditahan

Penguatkuasa APMM Kedah dan Perlis serta AADK Langkawi menjalankan proses saringan air kencing dalam operasi membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar perairan Langkawi.
Penguatkuasa APMM Kedah dan Perlis serta AADK Langkawi menjalankan proses saringan air kencing dalam operasi membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar perairan Langkawi.
A
A
A

LANGKAWI - Seramai 13 nelayan tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Langkawi di perairan Langkawi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, semua nelayan berusia dalam lingkungan 20 sehingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

Sebelum itu, seramai 60 individu yang bekerja sebagai kru kapal tangki minyak, kru feri penumpang dan nelayan menjalani saringan air kencing dalam operasi dilaksanakan bermula 9 pagi sehingga 7 malam.

"Operasi ini bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar perairan Langkawi, di samping mencegah perlakuan jenayah maritim lain.

"Operasi bersama ini juga bertepatan dengan Projek Rintis Agensi Antidadah Kebangsaan dalam menangani gejala sosial dalam kalangan warga tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Rozali berkata, mereka yang positif dadah telah menjalani proses dokumentasi berlandaskan prosedur ditetapkan pihak AADK.

"Kita tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan dadah dan sebarang aduan di laut diminta menghubungi talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750," katanya lagi.

Artikel Berkaitan: