Ingat lagi ungkapan ‘awak YB ke saya YB’?

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Sifat rendah diri, mengabdikan diri dalam perjuangan demi rakyat dan sedia ditegur menggambarkan sifat kepimpinan serta karisma dalaman Adly Zahari hingga diberi kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Melaka untuk menerajui negeri bersejarah itu.

Pada sidang akhbar sulung selepas Adly mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-11, Mei lepas, penulis mengajukan soalan tentang hala tuju kerajaan negeri bakal dibentuknya, adakah rakyat perlu takut kepada kerajaan atau kerajaan perlu takut kepada rakyatnya?.

Jawapan Adly, 47, kepada soalan itu agak ringkas namun memperlihatkan sifat kepimpinan dan karisma yang ada pada dirinya: "Kerajaan (negeri) wajib dikritik dan boleh ditegur. Kalau kita lakukan kesilapan kita perlu akui kesilapan itu kemudian akan perbetulkan kesilapan itu".

Adly adalah Pengerusi PH Melaka, namun partinya Amanah hanya memenangi dua kerusi Dun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu Bukit Katil yang dimenanginya dan Durian Tunggal, berbanding DAP yang memiliki lapan kerusi Dun, PKR (tiga) dan Bersatu (dua).

Pada PRU14 lepas Adly berjaya menyatukan PH Melaka di bawah satu payung bagi melaksana apa dianggap sebagai ‘misi mustahil’ sebelum ini, menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Melaka apabila berjaya memenangi 15 kerusi Dun berbanding BN 13 kerusi, kemenangan majoriti mudah.

Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew, yang juga Adun Bandar Hilir awalnya disebut-sebut calon Ketua Menteri Melaka, namun dek kerana kepercayaan kepada Adly, Tey serta semua Adun PH daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah sepakat mengangkat Adly sebagai Ketua Menteri Melaka.

Pada 14 Oktober lepas, Tey mendapat perhatian apabila menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) membawa gelaran Datuk bersama seorang lagi Adun DAP iaitu Adun Bemban, Datuk Dr Wong Fort Pin juga Timbalan Speaker Dun Melaka, yang mana tindakan itu mengundang teguran pemimpin parti antaranya Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan, menegur pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat, malah Lim menyeru pemimpin terbabit mencontohi bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba yang hanya mahu menerima pengiktirafan selepas bersara.

Artikel Berkaitan:

Tey menjelaskan beliau menerima anugerah itu atas menghormati serta taat setia kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan institusi Raja-raja Melayu seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan, beliau turut meminta maaf kepada Mohd Khalil kerana penganugerahan itu menjadi isu.

Perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, dan pada 17 Oktober lepas Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke juga Menteri Pengangkutan dilaporkan sebagai berkata CEC DAP hanya membuat teguran dan tidak memaksa mereka memulangkan gelaran berkenaan.

Guan Eng kemudian berkata, tanpa merujuk kepada Tey secara khusus, pemipin DAP Melaka tidak perlu memulangkan anugerah itu tetapi hanya perlu meminta maaf secara awam dan meminta maaf secara peribadi kepada parti.

Pemimpin DAP sekali lagi menjadi perhatian, kali ini Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka apabila videonya bersikap kasar kepada penduduk dalam menyelesaikan isu penutupan jalan di Jalan Pulau Nibong-Taman Akasia di Batu Berendam di sini, tular di media sosial.

Perkataan ‘awak YB ke saya YB’ yang diucap Norhizam apabila berang terhadap penduduk yang membantah penutupan jalan itu menjadi tagline pengguna media sosial yang mempersoal tindakan itu, malah menjadi ‘peluru’ buat parti pembangkang mengkritik cara PH menyelesaikan masalah rakyat.

Kekusutan itu akhirnya dilerai apabila Adly sendiri bertindak meminta maaf terhadap perbuatan Norhizam itu dan Norhizam turut meminta maaf kepada penduduk berkenaan dalam satu pertemuan pada 10 Oktober lepas.

Adly turut mengarahkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) segera bertindak dan duduk semeja berbincang dengan penduduk terlibat bagi mencari penyelesaian menang-menang buat semua pihak, sekali lagi memperlihat sifat kepimpinan dan karisma yang ada dalam dirinya. - Bernama