Pekebun kecil susah hati

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HULU TERENGGANU - Pekebun kecil di sini berharap pihak kerajaan dapat melihat ke peringkat akar umbi dengan pertimbangkan semula keputusan untuk tidak lagi melaksanakan skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata pekebun kecil membayangkan kesukaran mereka kelak dan bukan sesuatu yang mustahil kebun getah tidak lagi berganti dengan tanaman itu setelah pokok sedia ada kini ditebang apabila tua.

Pekebun kecil dari Kampung Kuala Por, Deresar Abdullah, 75, berkata berita itu satu perkhabaran sedih bagi pekebun kecil sepertinya dan dia benar-benar berharap kerajaan dapat dengar suara hati rakyat sepertinya.

"Saya agak terkejut dan sedih. Pendapatan sudahlah tidak seberapa harga getah murah, dapat pula berita cerita seperti ini. Kalau tiada skim bantuan untuk tanam semula, susah bagi kami orang kampung.

"Tidak mustahil ada yang tidak mampu lagi untuk tanam semula jika tiada skim ini. Hendak harapkan duit sendiri agak sukar. Paling tidak tebang pokok tua, jual kayu getah sahaja dan habis setakat itu sahaja.

"Paling kurang, perlukan sekitar RM5,000 untuk tanam semula getah bagi keluasan kira-kira satu ekar tanah. Jumlah ini tinggi bagi kami orang- orang kampung," katanya yang menjadi pekebun kecil sejak tahun 1995 kepada Sinar Harian.

Bagi Kamarudin Sulaiman, 63, yang mempunyai keluasan sekitar 16 hektar, dia berharap kerajaan melihat semula keputusan itu demi masa depan serta kebajikan pekebun seluruh negara.

"Kalau usaha sendiri nanti, mungkin sedikit sahajalah boleh diusahakan kerana kekangan sumber kewangan kerana kos agak mahal. Bukan semua pekebun kecil berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

"Kita faham hasrat kerajaan mahu bersikap adil tetapi pada masa sama, perlu juga memahami isi hati para pekebun kecil," ujarnya.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.