Majoriti pengguna sosial setuju tulisan khat diteruskan

Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian di tiga platform digitalnya.
Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian di tiga platform digitalnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Sejak beberapa hari lalu, media sosial kecoh dengan isu berkaitan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan khat jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian menerusi tiga platform digital dapat menyimpulkan bahawa majoriti bersetuju cadangan tersebut diteruskan.

Di Facebook Sinar Harian, seramai 4,600 pembaca telah mengambil bahagian dengan 93 peratus daripada mereka bersetuju manakala tujuh peratus lagi memilih untuk tidak bersetuju.

Di ruangan komen, pengguna Irwan Shah berpendapat, “Perlu diteruskan kerana ia melambangkan keperibadian orang Melayu beragama Islam. Sekurang-kurangnya kalau pandai menulis dan baca jawi, pandailah membaca al-Quran.”

Bagi Nur Izzati Suardi, dia bersetuju cadangan itu diteruskan namun merasakan ia terlalu cepat untuk dilaksana tahun depan kerana tahun ini hanya berbaki empat bulan sahaja lagi.

“Cikgu pun tak sempat mahir betul-betul lagi. Cikgu bukan semua Melayu, yang bukan Melayu pun ramai. Mereka pun baru nak belajar. Nanti belum sempat mahir, nak ajar murid pula. Lagi susah,” tulisnya.

Sementara itu di laman Twitter Sinar Online, 90 peratus daripada 303 pengundi memilih untuk bersetuju dan 10 peratus lagi tidak bersetuju.

Di laman Instagram seramai 13,474 pengguna mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut di mana 83 peratus mengundi setuju manakala 17 peratus lagi mengundi tidak setuju.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mazlee jawab 10 soalan berkenaan tulisan khat dalam Bahasa Melayu

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan kerajaan untuk memperkenalkan tulisan khat jawi adalah kekal.

Cadangan tersebut sebelum ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk pemimpin akar umbi DAP, namun veteran DAP Dr Tan Seng Giaw berpendapat sebaliknya.

Beliau melihat langkah tersebut sangat baik namun ia tidak boleh dilakukan secara paksa.

Baginya Kementerian Pendidikan perlu mengambil kira masyarakat majmuk di negara ini, maka pengenalan tulisan harus dibuat secara galakan serta bukan dipaksa.