Kejatuhan nilai Yuan cetus perang mata wang

Mata wang Yuan -Foto AFP
Mata wang Yuan -Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Pasaran Asia merosot pada perdagangan pagi tadi membawa kepada kerugian global selepas Wall Street mengalami jualan paling teruk pada tahun ini berikutan kebanyakan pelabur mula bimbang dengan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Penyusutan nilai Yuan dijangka berterusan walaupun pada kadar yang stabil. Perang mata wang kini sedang berlaku dan kita mungkin akan melihat kejatuhan lima peratus lagi pada akhir tahun ini,” kata Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Edward Moya.

Beijing berikrar untuk melancarkan serangan balas jika AS meneruskan ugutan mereka untuk mengenakan cukai baharu ke atas barangan import mereka selepas perang tarif tercetus antara kedua-dua negara.

Media tempatan melaporkan Beijing tidak lagi membeli hasil ternakan dari Washington yang dijangka mengeruhkan lagi perang perdagangan antara kedua-dua negara yang turut dikhuatiri memberi impak kepada kesihatan dan ekonomi global.

Semalam, AS secara rasmi menamakan China sebagai pemanipulasi mata wang selepas ia menuduh Beijing sengaja melemahkan nilai Yuan.

Langkah itu dibuat selepas China dikatakan sengaja membenarkan nilai mata wang mereka jatuh pada tahap paling lemah 1.4 peratus berbanding dolar dalam tempoh hampir sedekad, sekali gus meletakkan pasaran ekuiti global pada zon bahaya.

Nilai Yuan jatuh di bawah tujuh per dolar AS beberapa hari selepas Trump mengumumkan rancangan untuk menaikkan tarif 10 peratus ke atas barangan import China bernilai AS$300 bilion (RM1.2 trilion).

Keputusan itu dibuat selepas jutawan hartanah terbabit menuduh Beijing gagal mematuhi komitmen dalam rundingan untuk menamatkan perang perdagangan antara kedua-dua negara yang berlarutan selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu menandakan perubahan mendadak dasar AS.

Bagaimanapun, ia bukan pertama kali AS menamakan mana-mana negara sebagai ‘pemanipulasi mata wang’ sejak Akta Perdagangan dan Daya Saing berkuatkuasa pada 1988.

Pada tahun sama, Washington pernah melabel Korea Selatan dan Taiwan sebagai ‘pemanipulasi mata wang’ manakala China juga pernah dilabel gelaran sama pada 1992 hingga 1994.

Sebelum ini, Trump pernah berikrar untuk menetapkan Beijing sebagai pemanipulasi mata wang, namun Jabatan Perbendaharaan menghalang pemimpin itu berbuat demikian.

Tetapi, keputusan terbaharu itu membolehkan Trump menunaikan janjinya pada hari pertama beliau mengambil alih jawatan di Rumah Putih pada 2016.

Jabatan itu mendakwa China memanipulasi mata wang mereka hingga menyebabkan harga emas melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh enam tahun.

“Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin akan berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menghapuskan kelebihan persaingan yang tidak adil yang dicetuskan tindakan baharu China,” jelas jabatan itu lagi.

Sementara itu, Trump menerusi Twitter lantang menyuarakan kemarahan terhadap Beijing.

“China jatuhkan nilai mata wang mereka pada paras terendah dalam sejarah. Ini digelar manipulasi mata wang. Adakah anda mendengar Rizab Persekutuan? Ini adalah pelanggaran besar yang akan melemahkan mata wang China dari semasa ke semasa!” tegasnya.

Laporan baru-baru ini juga menyebut jabatan terbabit telah meletakkan Beijing dalam senarai negara yang diawasi kerana amalan mata wang mereka. - AFP

Apa yang menentukan kadar Yuan?

Biasanya kadar Yuan ditentukan permintaan dan penawaran mata wang hasil daripada faktor keseimbangan perdagangan, kadar faedah dan inflasi negara.

Yuan tidak boleh ditukar dengan bebas dan kerajaan mengehadkan alirannya terhadap dolar kepada jajaran dua peratus pada kedua-dua kadar keseimbangan pusat yang ditetapkan Bank Rakyat China (PBOC) pada setiap hari untuk mencerminkan trend pasaran dan turun naik kawalan.

Menurut PBOC, kadar pertukaran itu dipengaruhi oleh unilaterisme dan langkah perlindungan perdagangan serta keputusan AS menaikkan tarif ke atas barangan China.

Kesan terhadap China?

Nilai Yuan yang lemah menjadikan eksport barangan China adalah lebih murah.

Penganalisis Philip Futures, Samuel Siew berkata, kejatuhan nilai yuan dilihat sebagai langkah pelonggaran untuk mengurangkan impak daripada tarif dikenakan AS.

Kelemahan Yuan juga menjadikan import barangan China akan menjadi lebih mahal yang bakal meletakkan risiko inflasi lebih tinggi dan menyebabkan pemegang mata wang melabur dalam aset lain.

“Terdapat ramalan kejatuhan nilai Yuan akan menyaksikan rakyat China mengalihkan simpanan lebih besar kepada emas dan mata wang Kripto, Bitcoin,” kata penganalisis pasaran kanan di IG Trading Group, Joshua Mahony.

Impak kepada pertumbuhan global?

Penganalisis di ActivTrades, Ricardo Evangelista berkata, menambah mata wang baharu terhadap konflik perdagangan yang sedang berlaku antara dua negara ekonomi terbesar di dunia mungkin akan meningkatkan lagi ketegangan selain berpotensi menghalang pertumbuhan ekonomi global.

Kejatuhan nilai mata wang Yuan itu mencetuskan kebimbangan dunia hingga menyaksikan pasaran saham dan harga minyak global jatuh.

“Yuan yang lemah juga berisiko menimbulkan tekanan ke atas mata wang lain untuk ekonomi yang bergantung kepada eksport di seluruh Asia dan kemunculan pasaran kompleks,” ujar penganalisis FXTM, Han Tan.