Saya hanya ikut arahan Najib, kata Ahmad Husni

Saksi pendakwaan ke-56, Ahmad Husni (kanan) hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini pada perbicaraan kes Najib membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.
 - Foto Bernama
Saksi pendakwaan ke-56, Ahmad Husni (kanan) hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini pada perbicaraan kes Najib membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyifatkan wujud elemen "kepimpinan autokratik” yang ditunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengendalikan urusan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-56 berkata ini berikutan beliau hanya menurut perintah daripada bekas perdana menteri itu dalam urusan SRC.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan mengapa beliau berkata demikian, saksi itu menjawab "Saya jumpa Najib dan tanya dia kenapa SRC memperoleh pinjaman begitu banyak iaitu RM2 bilion daripada KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)). KWAP syarikat kerajaan.

"Najib cakap beliau nak memperkasakan bidang tenaga dan arang batu. Saya cakap biarlah arang batu ini syarikat swasta yang kendalikan.

"Ketika itu saya sedar ada elemen autokratik, hanya terima arahan, kita hanya terima arahan sahaja. Seperti yang saya katakan kepimpinan yang dibawa oleh Najib melibatkan SRC iaitu saya hanya menurut perintah, tidak ada berbincang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib tak izin delegasi MOF, KWAP, BNM ke Switzerland: Ahmad Husni

Ahmad Husni berkata biasanya dalam permohonan pinjaman kepada KWAP, dokumen akan melalui pegawainya dan hanya akan dibawa kepadanya untuk diperiksa.

"Tapi dalam kes SRC, tidak ada dokumen... tidak ada apa-apa, Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil, ketua pegawai eksekutif SRC), dia datang jumpa saya sekali sahaja tapi tidak ada sebarang dokumen dia bawa kepada saya. Lepas tu langsung saya tak jumpa dia dah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi budaya melibatkan SRC dan 1MDB ni jauh berbeza daripada budaya kerja yang lain... Kalau lihat pelaburan SRC RM4 bilion, di mana pergi RM4 bilion, mula-mula letak dalam bank di Switzerland dan Hong Kong lepas tu saya dapat maklumat pada 2014 baru terlibat dalam arang batu di Jawa dan di Mongolia kemudian ada di Aabar Investment.

"Dalam syarikat di bawah MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) macam SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) buat rumah nampak rumah, tapi SRC terlibat dalam arang batu, kesudahannya mana arangnya,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Muhammad Izzat.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata beliau memerlukan masa untuk berbincang dengan anak guamnya untuk mendapatkan arahan lanjut mengenai keterangan Ahmad Husni itu sebelum memeriksa balas saksi itu.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. -Bernama