Polis koyak telinga, putus jari angkara mat dadah

No Image Caption
A
A
A

GENTING HIGHLANDS- Lebih dua minggu lepas polis melancarkan Operasi Icebreaker bagi menggempur sarang pengedar dan penagih dadah di seluruh negara dan dalam tempoh itu lebih 8,000 orang ditahan serta hampir 30 kilogram dadah bernilai RM3.48 juta dirampas.

Di sebalik kejayaan itu, pelbagai cabaran dihadapi anggota terlibat sepanjang operasi itu, malah ada yang cedera dalam usaha menangkap penagih dan pengedar dadah.

Seorang putus jari manis, seorang koyak telinga kiri manakala seorang lagi anggota patah tulang tapak tangan kanan. Semuanya akibat penagih dan pengedar dadah yang melawan atau cuba melarikan diri ketika ingin diberkas.

Kejadian-kejadian itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Dua Hala ke-12 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dengan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di sini, hari ini.

“Telinga kiri anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu koyak akibat kemalangan apabila dia dilanggar suspek yang cuba melarikan diri dengan motosikal manakala di Pulau Pinang pula, seorang anggota Balai Polis Bayan Baru putus jari manis kanan ketika mengangkat motosikal suspek ke dalam kenderaan polis,” katanya.

Beliau berkata satu lagi kes melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah yang patah tulang di tapak tangan kanan akibat pergelutan semasa menahan suspek.

Polis melancarkan Operasi Icebreaker bermula 29 Julai sehingga Ahad lepas dengan sebanyak 298 serbuan dilakukan di sarang penagih dadah di seluruh negara melibatkan 418 pegawai dan hampir 3,000 anggota.

Operasi itu selaras dengan kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada 29 Julai yang melahirkan kewaspadaan mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini dan menyifatkan Malaysia boleh menjadi seperti Colombia jika langkah tegas tidak diambil untuk membendung gejala itu.

Artikel Berkaitan:

Malah apa yang lebih membimbangkan apabila terdapat dalam kalangan anggota dan pegawai polis sendiri yang ditahan kerana didapati mengambil dadah dengan tidak kurang 30 orang ditahan sejak Januari lepas.

Mohd Khalel Kader berkata sepanjang Operasi Icebreaker itu, seramai 8,799 orang ditahan, antaranya 4,900 orang ditahan kerana positif dadah; 1,912 orang kerana memiliki dadah; dan 621 orang mempunyai bekalan dadah.

“Kami turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya 17,859 gram syabu; ketamin (35.84 gram); pil eramin 5 (99.40 gram); pil yaba (2,834 gram); pil ekstasi (4,121 gram); ganja (1,521 gram); dan heroin (4,405 gram),” katanya.

Beliau berkata operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan misi untuk melakukan kacau ganggu dan mengurangkan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah selain merobohkan sarang penagihan di seluruh negara berjaya.

“Pemantauan akan diteruskan selepas operasi ini di sarang penagihan yang digempur bagi memastikan kegiatan itu tidak berulang dan serbuan serta operasi juga akan dijalankan secara berkala berpandukan maklumat diperoleh daripada orang awam.

“Sebaik dilancarkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 94 maklumat disalurkan orang awam kepada kami mengenai kegiatan dadah melalui talian hotline, 012 2087222,” katanya. - Bernama